Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini merasmikan Pameran Raja Kita yang diadakan di Muzium Diraja.

Pameran bermula hari ini sehingga 5 November 2019.

Ia mempamerkan pelbagai koleksi Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tidak pernah dipamer kepada umum sebelum ini.

Semasa titah perasmian, Al-Sultan Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan menteri Kabinet sepanjang program pertabalan baginda.


Baginda turut bertitah, fokus Tunku Hajah Azizah selama ini adalah sangat sempurna selain berterima kasih kepada kakitangan Istana Negara yang banyak bersabar selama ini.

Pada titah sama, baginda turut mengucapkan selamat hari lahir kepadaTunku Hajah Azizah.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenangan bersama anakanda baginda berdua Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah (kiri) dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. - Foto Bernama
Pameran Raja Kita diadakan secara percuma di Muzium Diraja di Istana Negara Lama, Jalan Istana, bertujuan menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada orang ramai mengenai peranan dan sumbangan Sultan Abdullah sebagai pemerintah, meliputi pelbagai aspek yang tinggi nilai warisan sejarah dan estetikanya.

Sejumlah 198 koleksi barangan kebesaran institusi raja dipamerkan seperti Cogan Alam, Cogan Agama, Cokmar dan pedang.