awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Liga Super: Dua jaringan Luqman Hakim pacu kemenangan NSFC
Nelayan dikhuatiri hilang jatuh laut di Tanjung Kubung
AHF perkasa pembangunan belia, lahir bakat hoki ke arah Sukan Olimpik
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Agong zahir kebimbangan, titah rakyat bantu KKM tangani COVID-19

Bernama
Bernama
07/03/2020
04:44 MYT
Agong zahir kebimbangan, titah rakyat bantu KKM tangani COVID-19
Seri Paduka menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam. -Gambar fail
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan 28 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam.
Justeru, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut agar jangkitan COVID-19 dibendung dengan segera dan berkesan.
"Seri Paduka bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat," katanya.
Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan COVID-19.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan penganjur-penganjur majlis menjalankan saringan gejala dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari kebelakangan dari tarikh program terhadap peserta selain menyediakan hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) yang mencukupi bagi kegunaan peserta.
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan dan pemantauan berterusan oleh KKM serta agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksana secara berkesan.
"Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas usaha KKM dalam menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.
"Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini," katanya.
Semalam, KKM mengesahkan penambahan 28 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus itu di Malaysia sebanyak 83 kes.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#28 kes baharu
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#cecair pembasmi kuman
#COVID-19
#CPRC
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#penularan jangkitan
#Tindak Cepat Krisis Negara
#Yang di-Pertuan Agong
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan