Tutup

Ahli Amanah jangan hanyut dengan kemenangan PRU - Mat Sabu

Ahli Amanah jangan hanyut dengan kemenangan PRU - Mat Sabu
Mohamad Sabu seru semua ahli parti Amanah agar tidak hanyut dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyeru semua ahli parti agar tidak hanyut dengan kemenangan yang dikecapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurut beliau, kemenangan PRU lepas bukanlah kemuncak perjalanan hidup parti tersebut, sebaliknya, pencapaian itu telah meletakkan komponen Pakatan Harapan (PH) itu pada kedudukan yang sangat kritikal dan penting.
Justeru, Menteri Pertahanan itu berharap ahli parti tidak terjerumus dalam persaingan tidak sihat seperti cah keting dan tikam belakang.

“Cukuplah sejarah kerosakan negara yang berlaku akibat kepimpinan yang rasuah, birokrat jahat, cerdik pandai membisu, ulama pedagang agama, rakyat jahil dan anak muda hilang keberanian.
“Kita juga berhadapan dengan pertembungan di antara dua kelompok iaitu kutub naratif “Melayu terancam” dan "kebebasan demokrasi,” katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Presiden pada perasmian Konvensyen Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Jelas beliau, Malaysia Baharu berdepan cabaran besar termasuk pertembungan dua kelompok yang menyebabkan ketidaktentuan dalam negara.

Mohamad Sabu menambah, dua kelompok tersebut cuba menimbulkan ancaman dan keresahan kaum Melayu demi meraih undi.

“Mereka mahu orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti.

“Naratif Melayu terancam hanya akan menambahkan kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan. Isu agama, bahasa, himpunan anti ICERD, statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Sabu turut menyifatkan Amanah sebagai pemangkin utama kepada kemunculan gerakan Harapan Baru. 

Katanya, pendekatan Amanah yang berasaskan maqasid syariah nyata mampu menjadikan parti berkenaan sebagai ‘raison d’etre’ (sebab kewujudan) kepada PH.

“Kedudukan inilah yang membuka ruang untuk Amanah berperanan sebagai parti politik yang progresif, pelaksana kata dan pemakmur bumi Allah SWT,” ujarnya.

Mengangkat tema Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama, Konvensyen Nasional Amanah 2019 dihadiri 925 perwakilan dari 154 kawasan.

Ia merupakan konvensyen kali keempat sejak penubuhan parti tersebut yang bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu buat pertama kali sejak parti tersebut ditubuhkan.


Tag: KonvensyenAmanah2019, Mohamad Sabu, Pakatan Harapan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.