Tutup

Ahli Bersatu gesa MB Perak jawab isu hadiah kontrak

Ahli Bersatu gesa MB Perak jawab isu hadiah kontrak
Syed Razif (kanan) dan seorang lagi ahli Bersatu Bahagian Beruas, Zulkifli Tan, ketika bercakap pada sidang media berhubung isu MARRIS negeri Perak di Ipoh hari ini. - Astro AWANI/AIDA AZIZ
IPOH: Seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Razif Syed Rabii, mendakwa kontrak penyelenggaraan di bawah bajet Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) Perak telah dihadiahkan kepada sebuah syarikat tanpa tender terbuka.

Menurut Ahli Bersatu Bahagian Lumut itu, penyelewengan bajet MARRIS itu didakwa dilakukan atas arahan pejabat Menteri Besar Perak dan sehingga kini Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Exco berkaitan gagal menjawab secara telus berhubung isu itu.
Tegasnya lagi, syarikat yang menerima kontrak itu pernah dilaporkan atas kesalahan penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setakat ini, saya sudah cuba berhubung dengan pihak Pejabat Menteri Besar untuk berurusan secara telus dan memberi maklumbalas. Tetapi, (mereka) hanya diam. Sehingga hari ini pun, saya masih dihalang.
"Saya berharap pihak kerajaan negeri dapat beri jawapan mengapa menghadiahkan kontrak tanpa tender dan terus kepada mana-mana syarikat.

"Sedangkan ia bercanggah dengan kaedah yang dinyatakan dalam Pakatan Harapan, iaitu tidak akan ada tender terus, seperti yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Syed Razif berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas berhubung isu MARRIS negeri Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, dia beberapa kali dihalang untuk mendapatkan pencerahan mengenai isu tersebut oleh pihak Bersatu sendiri.

"Sedangkan saya hendak buat appointment pun dihalang. Saya bergerak di dalam media Facebook dan Whatsapp, dan secara langsung. Itu saja yang mampu saya buat untuk berhubung dengan Bersatu dan kerajaan negeri.

"Ini bukan pandangan saya seorang. Ini melibatkan kontrak, dan saya bukan kontraktor, tiada kepentingan langsung dalam urusan syarikat.

"Ahli-ahli lain cuma mampu bercerita saja, kerana bimbang akan jadi macam yang saya kena," tambahnya.

Katanya, laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu di samping laporan kepada SPRM pada 17 September lepas.