Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

'Ahli Majlis Mara perlu laksanakan tanggungjawab, kalau tidak letak jawatan'

'Ahli Majlis Mara perlu laksanakan tanggungjawab, kalau tidak letak jawatan'
Sekiranya fungsi pembangunan sosio ekonomi tersebut digugurkan, MARA bagai layang-layang terputus tali sebenarnya.
BACA klausa ini dari Akta Majlis Amanah Rakyat 1966:
 
6. (1 ) Adalah menjadi kewajipan Majlis untuk memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Malaysia dan khususnya bagi kawasan kawasan luar bandar.

Klausa ini bukan sekadar perundangan dalam Akta MARA 1966 tetapi menjadi tonggak kewujudan MARA.
Sekiranya fungsi pembangunan sosio ekonomi tersebut digugurkan, MARA bagai layang-layang terputus tali sebenarnya. Ia adalah jiwa kepada pengwujudan Majlis MARA.
 
Meninggalkan kegiatan perniagaan bermakna, menggugurkan tanggungjawab dan mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi.

Ini bukan sekadar memotong anggota kaki atau tangan MARA tetapi seolah-olah meragut seluruh intipati MARA itu sendiri.
Menokok nambah inisiatif pendidikan tidak dapat mengimbangi kerugian ekoran penutupan perniagaan yang diceburi.

Sekiranya ahli Majlis MARA enggan memperjuangkan misi asal MARA maka wajarlah mereka diganti dengan mereka yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan ini dengan ikhlas dan gigih seperti yang diamanahkan kepada ahli-ahli majlis.
 
Sabda Rasulullah s.a.w.:
 
“Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah; dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji.” (Ahmad dan Ibnu Hibban)
 
MARA (dan Akta MARA) tidak seharusnya diubah hanya kerana ahli-ahli majlis tidak sanggup menjunjung dan memikul amanah melaksanakan kewajipan MARA.
 
Saya tidak berminat untuk mengulas tentang perancangan pendidikan MARA namun dalam laporan media, Dr Hasnita telah dipetik sebagai berkata:
 
“Although education was never under the council as a committee, we had to look into it. We set up an education committee which included external advisers.”
 
(Walaupun pendidikan tidak pernah berada di bawah tanggungjawab majlis sebagai sebuah jawatankuasa, kami terpaksa pertimbangkan perkara itu. Kami menubuhkan sebuah jawatankuasa pendidikan termasuk melibatkan penasihat luaran).
 
Persoalan yang timbul:
 
Siapakah ahli-ahli jawatankuasa pendidikan tersebut?
Siapakah pengerusi jawatankuasa tersebut?
Siapakah penasihat-penasihat (orang luaran) dalam jawatankuasa tersebut?
 
Adalah penting untuk menilai samada ahli-ahli jawatankuasa tersebut mempunyai kelayakan, pengalaman dan intipati yang relevan.
 
Artikel tersebut juga mengatakan:
 
“A year into her appointment, Hasnita shared the future “fusion and fission” of Mara’s education initiatives.”
 
(Pada tahun pertama pelantikan sebagai pengerusi, Hasnita berkongsi  masa depan inisiatif-inisiatif pendidikan MARA bersandarkan kepada gabungan dan pembahagian).

“Fission and fusion” canggih benar bunyinya tetapi tidak mempunyai makna dan tidak berasaskan realiti kalau Dr Hasnita tidak terlebih dahulu memahami sejarah Tanah Melayu dan kesukaran yang dihadapi oleh kaum bumiputera untuk mengurangkan jurang pendapatan dan pemilikan harta antara kaum bumiputera dan bangsa Cina.
 
Dr Hasnita juga perlu memahami bahawa golongan neo-liberal (dalam dan dari luar negara) berusaha dengan gigih untuk menghalang kaum bumiputera berjaya dalam bidang pengajian dan perniagaan.

Sekadar menghasilkan ramai graduan tidak memadai untuk mencapai matlamat  pembangunan sosio-ekonomi.
 
Meninggalkan kegiatan perniagaan bukanlah jalan penyelesaian. Adalah lebih baik dan bermanfaat sekiranya Dr Hasnita menumpukan usaha terhadap menguatkan jalinan kerjasama antara sektor pendidikan dan sektor perniagaan atau mencari sinergi untuk membangun ekosistem MARA.
 
Dr Hasnita mengulas panjang lebar berkenaan rancangan pendidikan tetapi tidak langsung menyentuh bagaimana hendak memantapkan atau membaikpulih kegiatan perniagaan.
 
Saya hanya boleh simpulkan ini mendedahkan hakikat sebenar bahawa beliau sendiri kurang arif dalam bidang perniagaan maka beliau mengambil jalan mudah dengan mencadangkan MARA meninggalkan kegiatan perniagaan.
 
Pendirian beliau mencerminkan sikap acuh tak acuh dan tidak hormat terhadap perjuangan, usaha gigih dan titik peluh pencapaian mereka yang terdahulu, pihak pengurusan dan warga kerja MARA sepanjang lima dekad yang lalu.

Dr Hasnita mungkin takut dengan realiti -  oleh kerana dirinya tidak mempunyai ilmu dan kemahiran yang mencukupi, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang merudum, ini akan menjurus kepada kegagalan, kecaman orang ramai dan pemecatan jawatan beliau.
 
Tiada sesiapa yang meminta ahli-ahli majlis untuk menghasilkan satu keajaiban. Rata-rata kita memahami keadaan ekonomi negara yang lemah dan tidak menentu.

Namun, Majlis MARA  mesti melaksanakan kewajipannya “untuk memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Malaysia dan khususnya bagi kawasan kawasan luar bandar”.
 
Kewajipan ini tidak boleh dipertikaikan. Maka MARA sepatutnya mengemukakan pelan perniagaan yang berdaya maju termasuk dana yang diperlukan dari kerajaan sekiranya perlu.
 
Kenapakah Majlis tidak membentangkan pelan perniagaan tersebut?
 
Apakah ahli-ahli majlis tidak mempunyai kelayakan dan pengalaman untuk berbuat demikian?
 
Apakah ahli-ahli majlis berpendapat Kerajaan PH tidak kompeten untuk membangunkan ekonomi negara?
 
Sekiranya Majlis menjangka halatuju ekonomi negara adalah tidak positif, maka ahli-ahli majlis mesti beranikan diri meminta Kerajaan untuk melakukan yang sewajarnya berkaitan sektor-sektor atau komponen ekonomi yang relevan dan juga mengemukakan cadangan-cadangan bernas yang akan membantu MARA mencapai objektif-objektif sosio-ekonomi.
 
“The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort and convenience, but where he stands at times of challenge and controversy” (Martin Luther King, Jr.)
 
(Penilaian hakiki watak dan keperibadian seseorang bukan bila dia berada dalam keadaan selesa dan senang tetapi pada masa dia menghadapi cabaran, halangan dan kontroversi).
 
Kata Dr Hasnita:
 
“We want to make sure that our students end up with high paying jobs. So, we give them guidance on the areas and the industry. After graduation, we help them get jobs. Although unnecessary for us to do so, it completes the cycle.”
 
(Kami ingin memastikan penuntut-penuntut akan mendapat pekerjaan berpendapatan tinggi. Maka kami beri bimbingan dalam jurusan-jurusan dan industri tersebut. Selepas tamat pengajian, MARA boleh membantu graduan mendapatkan pekerjaan, walaupun ini bukan tanggungjawab MARA sebenarnya, ia sekadar melengkapkan kitaran [transformasi pelajar menjadi sumber manusia produktif].)
 
Saya tidak setuju.
 
Dr Hasnita telah menunjukkan betapa semangat dan paksi MARA itu tidak sebati dalam nalurinya apabila mengatakan bahawa bukanlah keperluan  atau tanggungjawab MARA untuk memastikan pelajar-pelajar MARA mendapat pekerjaan. Ya, memang penuntut MARA patut bersyukur sekiranya mendapat pekerjaan dengan bantuan MARA, namun, pada masa yang sama Dr Hasnita tidak seharusnya mengambil sikap seolah ia bukan tanggungjawab beliau untuk merealisasikannya, memandangkan beliau dibayar saraan yang lumayan khas untuk menambahbaik keadaan ekonomi kaum Bumiputra.
 
Keduanya, Dr Hasnita tidak memikirkan gambaran lebih besar -- apabila graduan akhirnya mendapat pekerjaan, ini bukanlah matlamat mutlak , malah  graduan tersebut juga diberi peluang (terutama sekali dalam sektor swasta) untuk menyumbang balik kepada komuniti Bumiputra.
 
Definasi “complete cycle” yang diberi oleh Dr Hasnita adalah sebenarnya definasi yang cacat.
 
Hamidah Karim, editor buku "A Second Chance - Life and Mission of Arshad Ayub" (November 2007) mengatakan dalam mukasurat 232:
 
"A Second Chance is Arshad's own expression, as he lived the experience and subsequently tasted the sweetness of success that may come with life's second chances. In real fact the book is more about that; it is about commitment, how Arshad built three levels of commitment around this work. Firstly, his own vision for ITM vis-a-vis the supra objectives of the NEP; secondly, his strategy for marketing ITM graduates and making them more acceptable to the private sector and finally, ensuring that through their participation in the private sector they would further improve the position and future of the bumiputra community. With that the NEP objectives come full circle."
 
Baca ayat tersebut berulangkali:
 
"... ensuring that through their participation in the private sector they would further improve the position and future of the bumiputra community. With that the NEP objectives come full circle ".
 
“… memastikan bahawa melalui penyertaan dalam sektor swasta mereka akan menambahbaik kedudukan dan masa hadapan kaum bumiputra. Dengan ini objektif Dasar Ekonomi Nasional menjalani pusingan lengkap”
 
Ulas pengarang dalam buku tersebut:
 
"In addressing the new students, Arshad reminded them of their collective mission to prove themselves -- first to their parents, then the community and finally, the government".
 
(Dalam ucapannya, Arshad mengingatkan kepada pelajar-pelajar akan misi mereka untuk membuktikan kebolehan mereka – pertama sekali kepada ibubapa, kemudian kepada komuniti dan akhirnya kepada kerajaan)
 
Maka tugas Majlis MARA belum selesai hanya setelah mahasiswa mendapat pekerjaan, samada dengan bantuan atau tanpa bantuan MARA. Sebaik-baiknya MARA juga perlu mewujudkan peluang perkerjaan di dalam sektor swasta, di mana MARA tentu sekali mampu berbuat sedemikian, contohnya dengan mewujudkan perkongsian perniagaan bersama syarikat multinasional.
 
Melayu seperti Dr Hasnita mudah lupa.

Kami masih ingat ahli DAP Dyana Sofea pernah mencadangkan (maksud sebenar: menuntut) UiTM dibuka kepada kaum bukan bumiputra.

Kini Dr Hasnita pula ingin mengubah DNA MARA dan jangan terkejut sekiranya dasar “fission and fusion” yang kabur ini adalah juga untuk mengubah DNA UiTM dalam jangkamasa panjang.

Yang akan rugi adalah kaum Bumiputra yang tidak berkemampuan.
 
Kata-kata Dr Hasnita adalah satu petunjuk apakah sebenarnya niat majlis:
 
“While 60 per cent of MRSM students will come from the B40 group, Hasnita believes that it is healthy to have a mix of races and social classes in educational establishments.”
 
(Sementara 60 peratus pelajar MRSM datangnya dari golongan B40, Dr Hasnita juga percaya adalah sihat untuk insitutusi pendidikan terdiri dari pelbagai kaum dan golongan sosial yang berbeza)
 
Visi dan misi “fission and fusion” Dr Hasnita bunyinya macam rancangan untuk institusi-institusi pendidikan Bumiputera dibuka sepenuhnya kepada bangsa-bangsa lain dari sebaliknya fokus membantu Bumiputera dalam golongan B40.
 
Apakah nasib pelajar Melayu yang memohon masuk MRSM tetapi ditolak kerana kuota untuk kaum bukan Bumiputra?
 
Di manakah pelajar Melayu akan mendapat pendidikan berkualiti dengan tiada wang yang mencukupi?
 
Bagaimanakah MARA akan membantu mereka?
 
Sekiranya ahli-ahli majlis MARA tidak bersemangat, tidak berupaya dan tidak komited  melaksanakan agenda sosio-ekonomi Bumiputra, mereka harus letak jawatan dan memberi ruang dan peluang kepada orang lain yang mampu memikul amanah dan menunaikan kewajipan MARA.
 
Pelajar sekolah rendah pun tahu ungkapan "When the going gets tough, the tough gets going". (Maksudnya bila keadaan menjadi sukar dan mencabar, seorang pejuang akan lebih berusaha untuk mencari penyelesaian yang membawa kepada kejayaan). Sikap dan pemahaman sebegini lebih bernilai daripada PhD dalam Nuclear Physics.
 
Namun, ahli-ahli majlis nampak seolah tiada tulang belakang – apabila keadaan jadi sukar dan mencabar, mereka jatuhkan senjata dan meninggalkan medan peperangan. Sesungguhnya kami berharap ahli-ahli majlis tersebut tidak dilantik untuk sengaja untuk melepaskan senjata.
 
Saya bandingkan sikap mereka dengan keberanian Allahyarham Lt Muda Adnan dan pasukannya (Askar Melayu) yang terus mara ke hadapan hanya dengan bayonet untuk bertempur dengan askar Jepun apabila habisnya peluru.
 
Ahli-ahli majlis MARA tidak perlu mengangkat senjata pun dan tidak akan mati kalau berjuang dengan ikhlas melaksanakan kewajipan mereka.

Mungkin mereka cuma takut hilang jawatan sekiranya gagal menunaikan amanah.
 

BACA VERSI BAHASA INGGERIS


Azmi Arshad pernah menjadi Ketua Pegawai Kewangan di beberapa syarikat ternama. Beliau seorang penulis blog tentang isu yang dekat di hati, terutamanya dalam hal ehwal semasa.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI