Ahli PAC dakwa pengerusi sunting laporan akhir 1MDB tanpa kelulusan ahli

Ahli PAC dakwa pengerusi sunting laporan akhir 1MDB tanpa kelulusan ahli
PUA: Tindakan tersebut jelas melanggar peraturan mesyuarat dan menimbulkan kecurigaan terhadap niat pengerusi untuk menutup kes. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Anggota pembangkang Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mendakwa bahawa Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Hasan Arifin menyunting laporan PAC mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kelulusan jawatankuasa berkenaan.

Dalam satu sidang media di Dewan Negara, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa Hasan ‘membuang’ sepotong ayat dalam laporan itu berkenaan pemilik firma Good Star Limited.

Tony berkata, draf laporan akhir PAC yang telah diluluskan oleh semua anggota PAC berlainan dengan laporan akhir yang diterbitkan pada 4 April lalu.

“Laporan PAC pada muka surat 25 didapati hanya menyebut bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Halmi telah membekalkan dokumen yang menyatakan Good Star adalah anak syarikat Petrosaudi , tetapi ayat selepas itu telah dibuang.
"Pengerusi telah memotong sepatah ayat yang telah dipersetujui mesyuarat iaitu: 'Bank Negara Malaysia telah dimaklum secara sukarela oleh pihak berkuasa negara berkenaan bahawa Good Star Limited merupakan sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang individu yang tiada kaitan dengan kumpulan PetroSaudi' - ini penting bagi membuktikan bahawa penyelewengan RM700 juta pada masa itu telah pun berlaku," kata Tony.

Katanya, tindakan Hasan itu menimbulkan persoalan dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi mahupun tidak kepada ahli jawatankuasa itu.

"Tindakan pengerusi PAC telah memotong ayat yang telah dipersetujui dalam mesyuarat jelas melanggar peraturan dan menimbulkan kecurigaan terhadap niat pengerusi untuk menutup kes,” katanya.

Pua yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP), membuat kenyataan itu bersama Timbalan Pengerusi PAC Tan Seng Giaw, Datuk Kamarul Baharin, Datuk Takiyudin Hassan dan William Leong.

Mereka menyeru agar Hasan memperbetulkan laporan tersebut dengan serta merta melalui satu kertas pembetulan kepada Parlimen.

Dalam masa yang sama, mereka turut menggesa agar Hansard prosiding PAC yang merakam segala soalan, jawapan, dan pembentangan saksi-saksi oleh jawatankuasa diterbitkan dan dibentangkan kepada Parlimen.

Kata Tony, Hansard yang merekodkan pembentangan dan pembincangan Laporan Ketua Audit Negara antara Jabatan Audit Negara dengan PAC serta perbincangan antara ahli-ahli PAC dan pegawai kerajaan bertugas dalam penyediaan laporan PAC adalan penting bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai siasatan PAC ke atas 1MDB.