Tutup

Ahli Parlimen Dungun disamun, rugi lebih RM25,000

Ahli Parlimen Dungun disamun, rugi lebih RM25,000
WAN HASSAN: Kejadian ini sangat menakutkan dan saya akan lebih berhati-hati lepas ini. - Astro AWANI
DUNGUN: Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Wan Mohd Ramli mengalami kecederaan dan kerugian lebih RM25,000 dalam kejadian samun di sebuah bank di sini, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang itu, Wan Hassan, 62 tahun, cedera di betis kiri dan kedua-dua tangannya selepas bergelut dengan suspek.

Mangsa dikatakan pergi ke bank bagi mengeluarkan wang untuk membayar harga lembu dan beberapa bahagian lembu bagi melaksanakan ibadah korban,  serta untuk melangsaikan hutang.

Menurutnya, ketika dia memasuki kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier miliknya, secara tiba-tiba suspek, seorang lelaki, membuka pintu hadapan sebelah kiri penumpang, sebelum merentap beg yang mengandungi wang.
"Saya sangkakan orang datang nak mengadu masalah atau memohon sumbangan apa-apa. Tiba-tiba, terus dicapainya beg tangan saya, yang saya galas itu, menyebabkan berlaku pergelutan.

"Agak lama juga (bergelut), dalam keadaan kedudukan saya yang tidak selesa kerana berada di tempat pemandu, adalah dalam jangkaan lebih dari lima minit, berlaku tarik-menarik, pergelutan, menyebabkan akhirnya saya mendapat luka ini.
"Kerana, saya nak angkat kaki untuk tolak dia keluar, nak terajang dia," katanya, sambil mengakui, beliau bagaimanapun tidak dapat mengecam wajah suspek kerana cermin matanya terjatuh semasa pergelutan.


Wan Hassan bercakap kepada media selepas kejadian samun hari ini. - Astro AWANI

Jelas Wan Hassan, sebelum kejadian, dia menyedari seorang lelaki mundar-mandir di ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank terbabit.

Ekoran kejadian itu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dungun pada jam 3.05 petang.

"Kejadian ini sangat menakutkan dan saya akan lebih berhati-hati lepas ini serta saya juga nasihatkan orang ramai berwaspada semasa keluarkan wang dalam jumlah besar," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun sehingga menyebabkan kecederaan.