Ahli-ahli Parlimen perlu celik sejarah Perlembagaan Persekutuan sebelum meminda sesuatu undang-undang.

Itu pandangan sejarawan negara Profesor Khoo Kay Kim mengenai pelbagai polemik berkaitan perundangan negara sejak akhir-akhir ini.

Kay Kim berhujah, cara dan gaya segelintir ahli Dewan Rakyat sekarang adalah cerminan ketidakupayaan sistem pendidikan negara selama ini.

“Siapa yang meluluskan undang-undang? Parlimen. Siapa di dalam Parlimen? Orang yang dipilih oleh rakyat dan mereka mesti menjalankan tugas untuk kebahagiaan rakyat dan kalau timbul masalah tentang tafsiran undang-undang, siapa yang ada hak membuat tafsiran? Bahagian kehakiman,” katanya selepas majlis pelancaran buku autobiografi beliau bertajuk 'I, KKK - The Autobiography of a Historian' di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.


Pandangan sama turut dilontarkan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang antara lain menyeru Ahli-ahli Parlimen untuk memahami roh dan prinsip perlembagaan sebelum membuka mulut.

“Kalau kita mengusik dia punya hak tentulah dia ada hak untuk berkonflik dengan kita. Dia hendak mempertahankan hak dia. Adakah ini mengusik hak dia? Kita hendak study begitulah. Itu pasalnya kajian perlembagaan kita itu sangat penting,” katanya yang ditemui di majlis yang sama.