Tutup

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi dan isteri bercerai

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi dan isteri bercerai
Nik Nazmi minta semua pihak menghormati privasi beliau dan keluarganya selepas bercerai. - Gambar SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR: Rumah tangga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan isterinya Imaan Abdul Rahim yang berusia 14 tahun berakhir dengan perceraian.

Pasangan berkenaan berpisah dengan talak satu dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada pagi Selasa.

Nik Nazmi, 37 tahun, melafazkan cerai kepada Imaan, 36 tahun, yang juga seorang doktor di hadapan Hakim Zaim Md Yudin.

Portal berita Sinar Harian melaporkan, Zaim merekodkan penceraian tersebut dalam kamarnya yang dihadiri Nik Nazmi selaku plaintif dan peguamnya Normawaddah Ramli manakala Imaan selaku responden hadir bersama peguamnya Fadiah Nor.
Pasangan turut ditemani ahli keluarga masing-masing.

Nik Nazmi memfailkan permohonan cerai secara baik pada 30 Mei lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Dalam permohonan sama, beliau turut memohon perintah berkaitan nafkah anak, hak jagaan anak, harta sepencarian, mutaah, eddah dan hibah.
Mahkamah turut memberikan hak jagaan anak mereka Nik Ilhan Nik Nazmi, 8 tahun, kepada Imaan manakala Nik Nazmi mendapat hak lawatan dan bermalam.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, beliau dan Imaan telah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

"Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan dari keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami.

"Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami," katanya dalam satu kenyataan.

Nik Nazmi berkata, beliau dan Imaan akan fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak mereka selain komited untuk membesarkannya bersama-sama.

"Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini," katanya.

Tag: Ahli Parlimen Setiawangsa isteri bercerai, Nik Nazmi Nik Ahmad, Imaan Abdul Rahim, bercerai, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.