Pasukan petugas khas bagi menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan Pengasas Perlis Hope Amri Che Mat mungkin akan ditambah seorang anggota baharu berkemungkinan bukan Melayu, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pihaknya berpendapat anggota pasukan petugas khas itu perlu ditambah seorang lagi selain mengganti penarikan diri bekas Ketua Bahagian Perundangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor

"Di peringkat kementerian dan khasnya saya sendiri, kita akan menamakan pengganti (Mokhtar) dan mungkin saya fikir kita boleh menambah seorang lagi.

"Selain pengganti akan ada seorang lagi yang mungkin di kalangan bukan Melayu yang saya fikir sesuai untuk duduk dalam pasukan petugas," katanya selepas menghadiri Majlis Hari raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga Polis Diraja Malaysia, di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, pada Ahad.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama mereka pada Isnin atau Selasa nanti.

Mokhtar menarik diri daripada pasukan petugas khas itu selepas dikritik ahli keluarga Amri dan Koh yang tidak yakin beliau mampu bertindak adil.

Kementerian Dalam Negeri menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk meneliti hasil laporan ikuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Polis terlibat dalam kehilangan Koh dan Amri.