Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa bagi membantu siasatan berkaitan agensi kerajaan yang pernah dipimpinnya.

Sumber SPRM memberitahu individu itu ditahan kira-kira 5.30 petang selepas dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.

Ahli Perniagaan itu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kontrak promosi yang ditandatangani agensi kerajaan dengan sebuah syarikat tempatan.

Lelaki itu akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.