Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan bekas pegawai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 56 pertuduhan membuat tuntutan palsu, tiga tahun lepas.

Datuk Kok Chung Fui, 43, dan William AK Edmund Silla, 43, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Kok, yang merupakan pengarah CK Oil and Gas Sdn Bhd, menghadapi 28 pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan RM789,360, kepada Petronas Carigali, manakala William yang merupakan pegawai penyelaras di sebuah GLC berdepan 28 pertuduhan bersubahat dengan Kok.

William didakwa menandatangani invois bagi bekalan bahan berkenaan sedangkan dia tahu bahawa ia adalah tuntutan palsu, dan tidak pernah dibekalkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Scomi Oiltools Sdn Bhd, Labuan Integrated Base, Labuan, pada 18 Sept, 2013.

Kok didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala William mengikut Seksyen 28 yang dibaca bersama-sama Seksyen 18 (1) (b) akta sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai barang yang dibuat tuntutan palsu atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa daripada SPRM Rozanna Abd Hadi memohon supaya kesemua 56 pertuduhan dibicarakan bersama-sama.

Abu Bakar membenarkan Kok dan William masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Korventt Wheezer, juga diperintah melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 April untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA