Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua ahli UMNO di setiap peringkat untuk lebih berani menyuarakan pandangan serta kegusaran mereka terhadap pentadbiran dan kepimpinan parti itu.

Tegas Muhyiddin, ahli UMNO yang mempunyai sebarang pandangan mahupun kegusaran mereka sepatutnya tidak takut untuk berdepan sebarang tindakan yang akan dikenakan.

Malah katanya, langkah itu merupakan perkongsian pandangan dan idea dan bukannya tindakan yang menentang.

"Saya minta mereka lebih terbuka suarakannya. Dalam mesyuarat, suarakan. Jangan takut dengan kesannya, jika mereka lakukan perkara yang betul.

"Ramai yang tidak bersedia bersemuka, takut dengan tindakan, takut digugurkan atau dipecat. Bagi saya itu tidak patut berlaku.

"Ahli UMNO perlu tampil ke depan, bukan menentang, tapi menyuarakan isu pokok," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau pada masa sama mengakui budaya parti Melayu itu lebih cenderung untuk memendam perasaan.

Hadir sama pada sidang media tersebut adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Selain itu, Muhyiddin berkata, ahli UMNO berperanan membawa suara mereka untuk didengar kerana mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Peranan UMNO, mesti ada suara yang melihat ini sebagai isu penting kerana kita sebahagian daripada kerajaan.

"Saya tidak fikir ahli parti harus takut atau bimbang," kata ahli Parlimen Pagoh yang disingkirkan daripada Kabinet bersama Shafie pada 28 Julai lalu.

Diminta mengulas berkenaan tujuan beliau hadir sama pada sidang media tersebut, Muhyiddin berkata hasrat yang dibawa oleh Dr Mahathir seiring dengan pandangannya.

"Saya yakin dengan apa yang disebutkan oleh Tun Mahathir, satu perkara benar. Saya pegang pada prinsip keadilan.

"Walaupun saya masih pegang jawatan dalam parti, ia tidak halang saya, lebih-lebih lagi kalau ia membabitkan kepentingan rakyat," jelas Muhyiddin.