Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah disifatkan masih tidak faham persoalan rakyat terhadap urus tadbir 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang didakwa amat tidak telus.

Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, selagi Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda mengelirukan rakyat dan memutarbelitkan fakta, selagi itu rakyat akan menganggap isu itu tidak selesai.

"Kenyataan Ahmad Husni hari ini amat bercanggah dengan kenyataan Arul baru-baru ini. Kini, Ahmad Husni kata dalam jangka panjang, 1MDB bakal menjana pendapatan kepada kerajaan seterusnya kepada rakyat.

"Ia bercanggah dengan kenyataan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang yang menyatakan 1MDB tiada kaitan dengan kerajaan mahupun rakyat," katanya ketika menghubungi Astro AWANI hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Ahmad Husni yang menyifatkan 1MDB beroperasi seiring dengan matlamatnya.

Kata Ahmad Husni, matlamat penubuhan 1MDB jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi, dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan.

Ujar Khairuddin, Ahmad Husni dinasihat untuk duduk 'diam-diam' daripada beretorik dan cuba menyakinkan rakyat mengenai cara urus tadbir 1MDB.

"Kita tanya di mana 1MDB letak duit pelaburan yang telah ditebus sepenuhnya dari Kepulauan Cayman? Ia jumlah yang amat besar dan rakyat ingin tahu di mana wang-wang pelaburan tersebut berada kini.

"Kenapa 1MDB mengatakan kedudukan kewangan mereka kukuh namun kenapa terpaksa berhutang untuk membayar hutang sebanyak RM2 bilion baru-baru ini? Dari mana datangnya wang tersebut?" tegasnya.

Kata Khairuddin lagi, Ahmad Husni juga sudah menyimpang dari matlamat asal untuk memberi penerangan mengenai kedudukan 1MDB.

"Dia (Ahmad Husni) tidak peka dan tidak faham persoalan rakyat mengenai ketidaktelusan pentadbiran dan perbelanjaan dana 1MDB.

"Penerangan Ahmad Husni hanya cakap politik semata-mata. Saya rasa rakyat tidak sebodoh yang mereka sangka. Kita tanya lain, lain pula yang dijawab Ahmad Husni hari ini," ujarnya.

Isu 1MDB menjadi hangat setelah syarikat yang milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM38 bilion.

Kajian yang dijalankan 1MDB membolehkan penilaian dibuat ke atas syarikat pada masa hadapan

Ia turut mendapat kritikan pelbagai bukan sahaja dari pembangkang malah dari tiga mantan Menteri Kewangan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin.

Bagaimanapun 1MDB telah memberi jaminan bahawa semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional, dan dalam keadaan baik untuk membayar semua hutang.