Isu dakwaan ‘sijil palsu’ yang mendepani beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dibangkitkan di Dewan Rakyat Rakyat hari ini dengan harapan mendapat reaksi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang membangkitkan soalan berkaitan isu itu turut mengemukakan soalan berkenaan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan manifestonya.

Namun, Ahli Parlimen Langkawi itu tidak mengendahkan isu sijil palsu yang dibangkitkan Ahmad dan hanya memfokuskan isu manifesto tidak tertunai.

“Kita sedang berusaha dengan memastikan janji manifesto itu dapat ditunaikan tetapi kerana perbuatan kerajaan terdahulu selain daripada perundangan lama tidak mempermudahkan usaha kerajaan ketika ini,” kata Dr Mahathir.

Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi Dr Mahathir, Ahmad bangun semula mencelah dengan harapan Perdana Menteri menjawab isu sijil palsu tersebut.

“Sijil palsu tidak jawab Tun, tolong jawab,” ujar Ahmad Maslan. Ia turut disahut beberapa ahli Parlimen blok pembangkang yang tidak berpuas hati dengan jawapan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengarahkan Ahli Parlimen Pontian itu duduk kerana tempoh pertanyaan telah tamat.

Isu penggunaan sijil akademik palsu mendapat perhatian umum berikutan pendedahan beberapa pemimpin Pakatan Harapan didakwa memiliki sijil berkenaan.

Sebelum ini, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong diragui.

ARTIKEL BERKAITAN: Desakan letak jawatan kerana tipu ijazah, Khalid serah kepada PM

ARTIKEL BERKAITAN: 'Terus terang saya memang tiada ijazah, jadi jangan tularkan' - Mahfuz

ARTIKEL BERKAITAN: MB Johor hanya senyum, enggan jawab dakwaan miliki sijil palsu