Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mahu mempopularkan hastag baharu yang dikenali dengan #tambahpendapatan.

Katanya #tambahpendapatan adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

"Apa yang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tumpukan tahun ini, saya sendiri ingin membantu untuk menambah pendapatan rakyat dan tagline dalam twitter saya sekarang ialah tambah pendapatan.

"Bererti apakah idea-idea yang boleh dibuat oleh agensi-agensi (MITI) bagi membantu menambah pendapatan rakyat.

"Ini penting apabila kita menceritakan mengenai kos sara hidup kaedah yang terbaik ialah menambah pendapatan rakyat," katanya semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Tokoh-tokoh Sarjana Penerima Anugerah Buku Negara 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pontian itu melihat #tambahpendapatan lebih menjurus ke arah perkara yang positif.

"Jadi program-program yang menghala ke arah itu (tingkat pendapatan) di bawah MITI kita akan perhebatkan termasuk Industri Kecil dan Sederhana di kampung-kampung Satu Daerah Satu Industri, Satu Kampung Satu Produk, misalnya, Satu Keluarga Satu Usahawan supaya pendapatan rakyat boleh bertambah.

"Ia agak berbeda dengan #2kerja, hashtag yang ingin kita popularkan ini ialah #tambahpendapatan bererti ia lebih menuju ke arah yang positif daripada #2kerja," tambah beliau.

Ahmad juga kesal kerana menjadi target kumpulan media sosial yang memutarbelitkan kenyataannya di Twitter.

"Bukan saya suka. Saya tidak gemar perkara begitu kerana kalau boleh kita mahu ia dilihat sebagai positif. Cuba spin satu perkara itu ke arah positif.

"Posting saya di Twitter itu dilihat keseluruhannya bukan ambil satu dan keluarkan yang satu itu, keluar daripada konteks cadangan saya iaitu kerja sedia ada, campur bisnes online mengikut peraturan pada waktu malam atau hujung minggu. Itu sepatutnya jadi rumusan. Namun mereka membuat rumusan salah termasuk Lim Kit Siang," jelas Ahmad.

Bagaimanapun tegasnya, beliau akan terus berani menghadapi cabaran media sosial pada tahun ini.

"Saya sebagai pemimpin, kalau kita tidak boleh beri cadangan, lebih elok kita jadi pengikut. Ingin menjadi pemimpin kenalah bagi cadangan. Namun, cadangan itu perlu dilihat secara tepat dan jangan keluar dari konteks," kata beliau.

Jelasnya, beliau sudah memaafkan sesetengah pihak yang dikatakan cuba memutarbelitkan kenyataannya.

"Kebanyakannya saya sudah maafkan. Saya seorang yang ingin tidur lena waktu malam dan tidak terbawa-bawa dengan kritikan yang macam-macam itu," tambahnya.