Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada jam 9.15 pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan sebuah yayasan.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, diambil keterangan oleh SPRM selepas diarahkan hadir oleh badan pencegah rasuah itu minggu lalu.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus berwarna putih tiba dengan diiringi beberapa individu dan disambut beberapa pegawai SPRM.


Anak perempuan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid pula tiba sejurus selepas itu pada 9.20 pagi.

Zahid kembali lagi ke SPRM bagi kali keempat bagi direkod keterangannya mengenai dana Yayasan Akal Budi.

Terdapat dakwaan bahawa RM800,000 dana yayasan kebajikan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit pemimpin UUMNO itu dan isterinya.

Zahid sebelum ini mengakui dana itu digunakan untuk membayar hutang kad kredit tetapi mendakwa ia kesilapan kakitangannya dan bayaran telah dilangsaikan.