Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Yayasan itu dikatakan berkait rapat dengan keluarga bekas timbalan perdana menteri.

Difahamkan turut dipanggil memberi keterangan ialah anak beliau sendiri Datuk Nurulhidayah, berserta anak tiri beliau Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Ahmad Zahid tiba di bangunan SPRM pada jam 9.20 pagi dalam keadaan ceria walaupun ini merupakan kali ketiga beliau dipanggil berhubung dakwaan penyelewengan itu.

Kali pertama dan kedua beliau dipanggil memberi keterangan ialah pada Julai lepas.


Sementara itu, walaupun ada khabar angin mengatakan beliau mungkin akan ditahan, namun pegawai beliau menjangkakan Ahmad Zahid akan pulang selepas selesai memberi keterangan petang ini.

Terdahulu, Presiden Badan Pemantau Malaysia Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan media sebagai berkata mereka sudah bersiap sedia sekiranya Presiden UMNO itu ditahan.

Menurut laporan itu, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau sedia maklum arahan Ahmad Zahid agar tiada sebarang perhimpunan diadakan di SPRM, namun beliau bertegas untuk meneruskan perancangan malam ini sekiranya berlaku penahanan.