Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis meluangkan masa menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi.

Menerusi akaun Facebook miliknya, Ahmad Zahid memuat naik gambar dan turut mendoakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu cepat sembuh.

"Baru sahaja menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai menjalani pembedahan bahu kanan di HKL baru-baru ini. Semoga beliau cepat sembuh," ujar Ahmad Zahid.

BACA: Najib, Rosmah lawat Anwar di HKL

Anwar dimasukkan ke HKL pada Rabu untuk menjalani pembedahan pada bahu kanannya.

HKL sebelum ini memaklumkan pembedahan itu dibuat ekoran kecederaan lama akibat kemalangan beberapa tahun lalu.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari pada Jun 2008.