Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mencabar dari segi perlembagaan berhubung dua akta membabitkan penerimaan bukti dokumen bagi tuduhan yang dihadapinya.

Akta berkenaan ialah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said bahawa pihaknya menarik balik permohonan itu.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah P. Ravinthran dan Datuk Nordin Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata, pihak pendakwaan tidak membantah mengenai perkara itu.

Hakim Kamaludin kemudiannya, membatalkan permohonan itu yang sepatutnya dijadualkan didengar hari ini.

-- BERNAMA