Sempena Hari Raya Aidiladha, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyeru rakyat Malaysia untuk lebih menghayati erti sebenar ibadah korban.

Menerusi perutusan Aidiladha yang diedarkan, Latheefa menekankan agar rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dengan setiap percubaan rasuah yang kini ada di mana-mana.

"Sesungguhnya kita mestilah berwaspada agar gejala rasuah tidak meresapi ke semua aspek kehidupan termasuk ibadah-ibadah suci seperti pemberian lembu, fardhu haji dan sebagainya.

"Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bersama-sama SPRM bertekad untuk terus berkorban memerangi sebarang bentuk rasuah dan membina jati diri yang alah rasuah. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah.

"Bagi mereka yang pulang ke kampung masing-masing, memandulah dengan berhemah dan berhati-hatilah di jalan raya.

"Akhir kalam, saya, bagi pihak diri ini, seluruh warga SPRM, dan seisi keluarga, dengan nawaitu murni lagi penuh tawaduk di hati, menyusun rapi sepuluh jari, memohon ampun serta kemaafan, atas sebarang kesalahan dan kekhilafan, zahir mahupun batin," katanya.