Beraya tanpa ibu bapa dan ahli keluarga terdekat bukan pilihan mereka, namun itulah yang terpaksa dilalui kira-kira 30 kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pertubuhan Kebajikan Baitul Sakinah, di sini.

Ada di antara kanak-kanak itu kehilangan ibu bapa dan ada yang terpaksa ditinggalkan di pusat penjagaan itu kerana ahli keluarga tidak mampu menyara kehidupan mereka.

Cukup menyentuh hati apabila kanak-kanak berusia di antara empat dan 13 tahun di sini acap kali bertanyakan di mana ibu bapa mereka.

Bagi tenaga pengajar Wan Nur Aina Mardhiah Wan Ahmad Rozailan, bukan mudah untuk menjelaskan kepada mereka, apatah lagi kanak-kanak ini masih belum mengerti.

“Kami sudah lali dengan soalan itu, namun ia tetap menyentuh perasaan apabila diajukan soalan seperti itu,” katanya.

Beraya tanpa ibu bapa dan ahli keluarga terdekat bukan pilihan mereka, namun itulah yang terpaksa dilalui kira-kira 30 kanak-kanak di sini.
Jelasnya, sekiranya tidak mampu menjawab pertanyaan itu, mereka akan berusaha melakukan aktiviti menyeronokkan bagi menggembirakan anak-anak di situ.

“Kita raikan mereka seolah mereka keluarga kita jugalah. Rai dia, gembirakan mereka, tapi ada juga tanya berhubung raya dengan keluarga.

“Sebagai contoh salah seorang kanak-kanak, tahun ini tak tahu khabar ibunya. Kita cuba buat macam-macam, gembirakan mereka, tapi kita sedih jugalah bila terima pertanyaan seperti itu.

“Jadi kita cuba gembirakan hati mereka sampai mereka lupa, tak ingat, bagi mereka semangat,” katanya.

Tambah Wan Nur Aina Mardhiah, walaupun perayaan pada kali ini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun mereka tetap meraikan dengan bersederhana.

Katanya, mereka juga menyediakan baju raya dan beri duit raya bagi menggembirakan anak-anak yang kurang bernasib baik di sini.

“Saban tahun anak-anak di pusat jagaan ini juga akan dibawa ke kediaman tenaga pengajar sekiranya keluarga mereka tidak datang untuk mengambil mereka bagi meraikan Aidilfitri bersama-sama,” katanya.