Tutup

Aidilfitri untuk dirai, bukan ditangisi

Aidilfitri untuk dirai, bukan ditangisi
Keletihan berpuasa dan hilang konsentrasi dikaitkan dengan jumlah kemalangan yang banyak. - Gambar BERNAMA
TINGGAL beberapa hari sahaja lagi kita bakal merayakan Hari Raya Aidilfitri. Berkumandang di corong-corong radio pelbagai lagu Hari Raya daripada lagu lama hinggalah ke lagu terkini.

Netizen di media-media sosial juga aktif berkongsi hantaran tentang persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ada yang berkongsi dan memperingatkan tentang persediaan pulang berhari raya di kampung nanti. Peringatan tentang membawa pulang penyangkut baju, seterika, palam sambungan, bantal dan tilam adalah antara nasihat yang berguna.

Ada juga yang berkongsi tentang kuih-muih yang dibuat atau dibeli sebagai buah tangan. Ada juga yang masih belum membuat sebarang persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana kesibukan tugas seharian.
Tulisan saya pada kali ini juga berkisar tentang persiapan Hari Raya Aidilfitri. Cuma bezanya adalah perkongsian saya ini daripada sudut  perubatan dan kesihatan.


Ada tiga topik kecil yang saya ingin kongsikan:

i. Persediaan ubat-ubatan
ii. Mengelakkan penyakit berjangkit
iii. Selamat di jalan raya


Persediaan ubat-ubatan

Bayangkan jika ini berlaku. Seawal subuh di pagi Aidilfitri isteri memaklumkan anak mengalami batuk-batuk dan selesema.

Usai solat sunat Hari Raya, berkejaran ke pekan. Klinik kesihatan memang tutup. Klinik Komuniti pun sama. Klinik swasta pun tutup belaka. Di kedai farmasi, ahli farmasi juga bercuti.

Hanya satu fasiliti kesihatan yang tidak tutup. Fasiliti yang setia 24/7 menerima pesakit. Sudah tentulah Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital.

Sayangnya, pada kebiasaan musim perayaan ia akan dipenuhi dengan mangsa-mangsa kemalangan jalan raya dan pesakit yang mengalami komplikasi penyakit kronik kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung.

Melihat nombor giliran, anda mungkin akan menangis kerana sia-sia membuang masa di Hari Raya akibat tiada persiapan awal. Baju dan kuih dibeli awal, tetapi ubat-ubatan?

Sediakanlah payung sebelum hujan. Sediakanlah ubat-ubatan untuk sakit-sakit ringan.


Beberapa jenis ubat yang dicadangkan disediakan awal sebelum pulang ke kampung:

1. Ubat-ubat bagi penyakit sedia ada seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain.

2. Pil Panadol dan sirap Panadol. Ini untuk kegunaan jika mula demam dan sakit kepala. Sirap Panadol untuk kegunaan kanak-kanak.

3. Ubat selesema yang boleh juga digunakan jika terkena alahan atau gatal-gatal.

4. Ubat batuk, ia memberi kelegaan paru-paru.

5. Ubat untuk sakit perut. Maklumlah makan tidak dijaga. Perut seakan-akan terkejut. Infeksi virus menyebabkan cirit-birit.

6. Ubat tahan sakit. Mungkin diperlukan terutama jika paras asid urik tinggi. Selepas berpinggan-pinggan rendang daging lembu dapat pula kesakitan akibat gout.


Mengelakkan penyakit berjangkit

Perkara kedua yang ingin saya kongsikan adalah tentang penyakit berjangkit. Biasanya yang kerap adalah penyakit batuk dan selesema.

Saya ingin memberi penekanan tentang etika batuk dan bersin serta kepentingan membasuh tangan. Jika anda batuk atau bersin gunakanlah tisu untuk menutup mulut dan hidung. Pastikan kitaran pengudaraan yang baik.

Amatlah malang jika kita yang sihat ini mendapat batuk dan selesema daripada jangkitan orang yang kita ziarahi.

Jika kita menziarah dan orang yang kita ziarahi pula batuk-batuk dan selesema, beberapa perkara perlu dilakukan. Masalah timbul jika orang yang kita ziarah itu tidak mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik.

Jika menutup hidung dan mulut kita kelihatan kurang manis, pastikan kedudukan kita agar tidak bertentangan dengan orang yang kurang sihat. Palingkan muka sedikit ketika beliau batuk agar udara hembusan batuk tidak mengenai muka kita. 

Aspek kebersihan diri juga sangat penting. Pastikan tangan dibasuh sebelum dan selepas makan. Walaupun nampak mudah tetapi ia mampu membantu mengelakkan kita daripada diserang cirit-birit dan muntah-muntah.

Jika menziarahi pesakit di hospital, pastikan tangan juga dibasuh sebelum dan selepas melawat pesakit untuk mengelakkan jangkitan silang.


Selamat di jalan raya

Perkara ketiga perkongsian saya pula berkenaan microsleep dan kerusi kereta kanak-kanak. Saban tahun ramai orang terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di hospital akibat kemalangan jalan raya. Malahan ada juga yang terkorban.

Statistik menunjukkan penunggang dan pembonceng motorsikal adalah mangsa kemalangan yang utama diikuti kemalangan kereta. Pengangkutan awam adalah lebih selamat berbanding pengangkutan persendirian.

Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu petang. Keletihan berpuasa dan hilang konsentrasi dikaitkan dengan jumlah kemalangan yang banyak.

Paling penting pemandu kenderaan perlu tahu berkenaan microsleep. Microsleep adalah keadaan tertidur tanpa disedari. Ia mungkin berlaku untuk beberapa saat. Ketika inilah kemalangan berlaku.

Maka jika pemandu kerap menguap, sukar untuk fokus dalam pemanduan, tersengguk-sengguk atau mata kuyu maka perlu berhenti segera di kawasan rawat dan rehat untuk tidur seketika. Jika ada pemandu kedua, ini adalah masa untuk menukar giliran pemanduan.

Pernah tular baru-baru ini di mana seseorang menghamparkan tilam di tempat duduk belakang kenderaan untuk anak-anak beliau mengharungi perjalanan jauh balik ke kampung.

Ini adalah kurang selamat kerana jika berlaku perlanggaran, kanak-kanak ini akan berisiko kecederaan yang serius kerana tiada ciri-ciri keselamatan.

Kerusi kereta kanak-kanak adalah yang terbaik kerana ia membantu mengelakkan kanak-kanak ini tersasar bebas jika perlaku kemalangan.

Akhir kalam, masih ada beberapa hari lagi untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri. Saya mendoakan keselamatan dan kesihatan semua warganegara yang akan pulang ke kampung merayakan Hari Raya Aidilfitri.

Semoga ia suatu sambutan perayaan yang bermakna bagi anda.



* Dr Sazwan Reezal Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy).

** Beliau boleh diikuti di Twitter melalui @drwaque untuk membaca informasi-informasi kesihatan.

*** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


Tag: Twitter, Aidilfitri, Hospital, kemalangan, Kanak-kanak, kereta, kesihatan, hari raya, keselamatan, perubatan, microsleep



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.