Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menegaskan bahawa ia tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM yang didakwa berlaku semasa pentadbiran lalu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Junaidah Kiting, berkata pada masa yang sama, AIM sedang berusaha menyiapkan laporan lengkap dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dalam tempoh terdekat sekaligus memberikan ruang kepada undang-undang bagi mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana yang terlibat.

“AIM juga akan mengemukakan laporan yang sama untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memastikan hala tuju AIM tidak tersasar daripada matlamat asalnya untuk membasmi kemiskinan menerusi kemudahan pembiayaan keusahawanan.

“AIM di bawah pengurusan baharu ketika ini sedang giat melaksanakan agenda utama membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat miskin dan berpendapatan rendah menerusi program-program pembiayaan aktiviti meningkatkan pendapatan, keusahawanan, bimbingan dan latihan di seluruh negara.

“Selain itu, AIM ingin memperbetulkan persepsi awam di sebalik laporan media berkaitan dengan kenyataan Timbalan Menteri berkaitan isu AIM. Apa yang ditegaskan Timbalan Menteri itu adalah berkaitan penubuhan anak-anak syarikat AIM sahaja dan bukannya penutupan operasi AIM secara keseluruhan,” kata Junaidah menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, Kerajaan kini menyediakan dokumen yang diperlukan sebelum memulakan prosedur pembatalan sijil Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Jelasnya, tindakan itu adalah berdasarkan Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992 kerana badan berkenaan tidak memenuhi syarat Suratcara Ikatan Amanah terutama dalam penubuhan anak syarikat.

Ujarnya, AIM sepatutnya membantu isi rumah termiskin, namun berlaku pelanggaran undang-undang oleh pentadbiran terdahulu.

Dalam pada itu, Junaidah berkata segala aktiviti yang dijalankan oleh AIM adalah berlandaskan peruntukan yang dinyatakan pada Suratcara Ikatan AIM dan skop-skop perundangan yang berkaitan.

“Sejak 1996 hingga kini, AIM telah menerima dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.2 bilion yang terdiri daripada dana pinjaman dan geran yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pembiayaan mikro-kredit kepada golongan B40.

“Perbelanjaan Operasi AIM adalah menggunakan dana dalaman hasil pendapatan daripada caj pengurusan pembiayaan dan tidak menggunakan peruntukan Belanja Mengurus dari Kerajaan,” tambahnya.

Tambah Junaidah, jumlah kumulatif pembiayaan yang dikeluarkan dari 1996 hingga Jun 2018 berjumlah RM20.23 bilion dan dana kerajaan dipusingkan semula kepada modal pembiayaan ynag dikeluarkan sebanyak 16.87 kali.

Pada masa yang sama, AIM telah berjaya mengekalkan peratusan pembiayaan tidak berbayar ataupun Portfolio At Risk (PAR) pada kadar 1.59 peratus setakat Oktober 2018 sekaligus menunjukkan bahawa AIM berupaya untuk melaksanakan mandat kerajaan untuk membasmi kemiskinan serta menguruskan kewangan secara efisien dan teratur.