Jelas terpancar kegembiraan di wajah Ainaa Amanda Shahzali, 7 tahun, yang menerima set tangan mekanikal (bionik) daripada seorang ahli perniagaan, baru-baru ini.

Amanda yang ditemui pagi tadi selepas pulang dari sekolah begitu teruja menunjukkan tangan baharunya kepada wakil Astro AWANI di sana.

“Adik dapat tangan baharu, adik bawa pergi sekolah lepas itu boleh pegang barang macam-macam. Lepas tu adik main dengan kawan-kawan dan boleh naik basikal, boleh pegang mainan, semua boleh.

"Terima kasih Pak Su kerana bagi tangan ini. Teddy bear adik ini pun adik suka sangat. Bye-bye Pak Su,” celoteh adik Ainaa Amanda yang teruja dengan tangan baharunya.

Ibunya, Habibah Hassan, 42, berasa amat terharu dan berbesar hati kerana ada insan yang bermurah hati untuk menderma set tangan mekanikal tersebut kepada anaknya.

Menurutnya, Amanda pada mulanya agak takut apabila melihat gambar tangan mekanikal tersebut menerusi internet. Namun sejurus menerima set tangan tersebut dan selepas memakainya, dia mula berasa selesa dan menyukainya.

“Dia pakai bila dia dapat genggam, kami bagi support (sokongan) kata 'wah bagus bagus'. Alhamdulillah dia rasa suka, dia dapat main bola dengan tangan, dia dapat semuanya.

"Saya kata kepada dia, ini adalah sebagai bantuan sahaja, bukan 100% dia nak guna. Dia tak boleh guna buat masa ni untuk makan nasi, hanya untuk pegang barang-barang yang ringan sahaja,” ujar Habibah.

Kata Habibah lagi, buat masa ini Amanda tidak memakainya di sekolah kerana bimbang akan menarik perhatian kanak-kanak lain, apatah lagi kini Amanda baru saja selesa dengan keadaan tanpa tangan.

Amanda menerima set tangan mekanikal itu semalam daripada ahli perniagaan Sujana Mohd Rejab, 47 tahun, yang bersimpati dengan nasib Amanda setelah mengetahuinya menerusi khabar.

Sebelum ini, kami pernah menyiarkan kisah Amanda yang tiada pergelangan tangan kanan yang kemudiannya menjadi viral di laman Facebook serta YouTube.