Air paip perlu dimasak terlebih dahulu sebelum ia boleh diminum, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata air paip yang telah diproses disalurkan melalui paip air yang berkemungkinan telah lama digunakan serta berkarat.

"Air paip yang telah diproses menerusi loji rawatan air boleh terus diminum kerana ia memang memenuhi piawaian ditetapkan.

"Tetapi apabila ia disalurkan ke paip yang jaraknya berpuluh kilometer sebelum air itu sampai ke rumah, kita tidak tahu sama ada ia selamat untuk diminum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Baru MTD di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, Dr Lee berkata adalah lebih baik orang ramai tidak meminum air secara terus daripada paip tetapi perlu memasaknya terlebih dahulu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar semasa Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini yang memberi jaminan bahawa air paip di negara ini selamat untuk terus diminum.


Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Mohd Ridhuan Ismal, mengesahkan sistem bekalan air di negara ini bukan saja bersih dan selamat diminum secara terus, malah bebas bakteria e-Coli. -- Bernama