Kira-kira 75,000 pengguna Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) di Simpang Renggam terputus bekalan air sejak Sabtu lalu.

Ia susulan penutupan sementara loji rawatan air (LRA) Simpang Renggam berikutan pencemaran ammonia di Sungai Benut.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik berkata, punca lain keadaan itu berlaku apabila kolam air larutan resapan (leachate) di tapak pelupusan CEP1 Simpang Renggam telah pecah, hinggakan pencemaran ammonia daripada CEP itu telah mengalir ke Sungai Benut.

“Terdapat juga sumber lain yang menyebabkan pencemaran sungai tersebut seperti kawasan ternak ayam dan lembu dan beberapa pusat loji rawatan kumbahan.

“Kita meminta Jabatan Alam Sekitar, kerajaan negeri dan Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli supaya mengambil cakna isu ini sebelum ia menjadi lebih besar,” ujar Maszlee.

Beliau berkata demikian ketika melawat LRA Sungai Benut, di Kampung Kolam Air Simpang Renggam.

Katanya, kematian ikan di sungai itu disebabkan kandungan ammonia yang tinggi kesan limpahan air sampah.

Dalam pada itu, beliau menggesa pusat pelupusan sampah (CEP) Renggam di bawah seliaan Southern Waste Management (SWM) ditutup secepat mungkin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, hasil siasatan awal juga mendapati, benteng tapak pelupusan sampah di kawasan terbabit terdapat limpahan air titisan sampah.

JAS sudah menjalankan siasatan pada Ahad dan sampel di sungai berkenaan juga sudah diambil untuk mengenal pasti punca pencemaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran di Sungai Ulu Benut, Simpang Renggam hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan.

Baginda menerusi entri terbaharu Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi Isnin juga mahu pihak berkuasa yang berkaitan segera mengemukakan laporan berhubung pencemaran itu kerana tidak mahu kejadian seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang.

Sampel yang diambil pihaknya akan diserahkan kepada jabatan kimia untuk dianalisis.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 25 akta yang sama.

JAS negeri juga sudah mengeluarkan empat kompaun yang mana setiap satu kompaun dikenakan denda sebanyak RM2,000.