Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa pada Jun.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Air Selangor memaklumkan berdasarkan garis panduan SPAN, bacaan penggunaan air sebenar pada bulan setelah pembacaan meter sebenar di premis pengguna akan di pro rata kepada bulan-bulan di mana bil air adalah dicaj secara anggaran.

"Bil sebenar yang telah dikeluarkan sebelum garis panduan SPAN dilaksanakan akan diselaraskan dalam bil air pengguna pada bulan berikutnya.

"Air Selangor menjangkakan bahawa pelarasan ini akan selesai disempurnakan pada Julai 2020 kerana kitaran bil lengkap akan mengambil masa selama sebulan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Air Selangor turut memaklumkan pengguna yang mendapati bil yang dikeluarkan sebelum ini terlebih caj dan pembayaran telah dibuat ke atas bil tersebut, maka jumlah terlebih bayar tersebut akan direkodkan dalam akaun pelanggan.

Air Selangor juga akan mengemas kini semua bahan infografik yang dikongsi di laman sosialnya kepada mekanisme pengiraan bil yang baharu untuk maklumat yang lebih jelas.

Sebarang pertanyaan mengenai bil tinggi, pengguna boleh terus hubungi Air Selangor di talian 15300, WhatsApp ke 019-2800919 atau 019-2816793, media sosial (Facebook, Twitter dan Instagram), Aplikasi Air Selangor serta e-mel Air Selangor ([email protected]).

-- BERNAMA