AirAsia cabar Mavcom berhubung perkhidmatan di klia2, PSC

AirAsia cabar Mavcom berhubung perkhidmatan di klia2, PSC
Menurut AirAsia, keengganan Mavcom membuat keputusan mengenai pertikaian itu adalah bertentangan dengan Seksyen 74 hingga 78 Akta tersebut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman, mencabar Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kerana menolak untuk membuat keputusan mengenai pertikaian antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) dan syarikat penerbangan tersebut.

AirAsia berkata pertikaian itu mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan tahap perkhidmatan yang lemah di klia2.

Syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, Mavcom mempunyai kewajipan berkanun untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu selepas pengantaraan antara pihak-pihak tersebut gagal, atau dianggap telah gagal.
"Keengganan untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu adalah bertentangan dengan Seksyen 74 hingga 78 Akta tersebut," menurut AirAsia dalam kenyataan pada Selasa.

AirAsia dan AirAsia X turut memohon perintah mandamus untuk memaksa Mavcom membuat keputusan mengenai pertikaian itu antara mereka dan MASSB mengikut kewajipan berkanunnya.

Syarikat penerbangan itu berkata MASSB telah memfailkan beberapa tindakan mahkamah, termasuk dakwaan fitnah terhadap eksekutif tertinggi kumpulan AirAsia kerana membuat kenyataan media terhadapnya, dan menuntut syarikat penerbangan tersebut membayar jumlah PSC yang tidak dikutip kepada mereka.

Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu mempertikaikan tuntutan pengendali lapangan terbang tersebut dan telah memohon untuk membatalkan tindakan itu.

Syarikat tersebut turut membuat tuntutan sebanyak RM480 juta terhadap MASSB atas kerosakan yang ditanggung susulan daripada perkhidmatan yang lemah di klia2.

-- BERNAMA




Tag: AirAsia, mahkamah, penerbangan, KLIA2, semakan kehakiman, Mavcom, Sepang, Malaysia Airports, MASSB, AirAsia X, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, caj perkhidmatan penumpang, PSC, kewajipan berkanun, kerosakan, perkhidmatan lemah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.