MALAYSIA
AirAsia mansuh bayaran pemprosesan 1 Oktober

Pemansuhan bayaran pemprosesan diharapkan AirAsia akan mengurangkan kos perjalanan untuk para pelanggan.
SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia akan memansuhkan bayaran pemprosesan untuk Malaysia bagi tempahan yang dibuat mulai 1 Oktober ini untuk memastikan perjalanan udara kekal berpatutan bagi semua.
Presiden (Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam berkata, pemansuhan itu diharapkan syarikat berkenaan akan mengurangkan kos perjalanan untuk para pelanggan.
“AirAsia sinonim dengan tawaran perjalanan udara yang berpatutan, dan kami berharap dengan memansuhkan bayaran ini, kami dapat memegang teguh kepada slogan kami - kini sesiapa pun boleh terbang.
"Kami rasa tindakan ini amat berpatutan lebih-lebih lagi dengan caj perkhidmatan penumpang yang lebih mahal di klia2," kata Bo Lingam dalam kenyataan media yang diedarkan pada Sabtu.
Sehubungan pemansuhan bayaran pemprosesan itu juga, AirAsia berharap keputusan itu akan menggalakkan lebih ramai pelancong terbang ke dan dalam Malaysia serta membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Kami harap untuk terus memacu industri pelancongan dan ekonomi Malaysia dan ini merupakan salah satu cara kami untuk menyumbang kepada negara,” ujar Bo Lingam.
AirAsia juga akan memansuhkan bayaran pemprosesan di Thailand, Indonesia, Filipina mulai 31 Disember ini.
Bayaran pemprosesan AirAsia bermula pada kadar RM4 jika anda menggunakan debit terus dan boleh meningkat sehingga RM16 dengan UnionPay.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami