Syarikat-syarikat penerbangan di bawah / dalam Kumpulan AirAsia akan menyambung semula penerbangan domestik yang dijadualkan, bermula dengan AirAsia Malaysia - AK pada 29 April 2020.

Ia diikuti oleh AirAsia Thailand - FD (1 Mei 2020), AirAsia Filipina - Z2 (1 Mei 2020), AirAsia India - i5 (4 Mei 2020) dan AirAsia Indonesia -QZ (7 Mei 2020), tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Menurut Presiden (Syarikat Penerbangan) Kumpulan AirAsia Bo Lingam, dalam satu kenyataan memberitahu penyambungan semula perkhidmatan tersebut adalah untuk beberapa laluan domestik terpilih sahaja.

“Penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat, apabila keadaan bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik oleh kerajaan,” jelas kenyataan tersebut pada Jumaat.

Bo Lingam pada masa sama memberitahu bahawa pihaknya berbesar hati untuk menyambung semula penerbangan dan perkhidmatan kepada para tetamu bermula dengan laluan domestik, dan berharap untuk kembali beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

“Kami telah mengemas kini prosedur pengendalian tetamu secara menyeluruh daripada perlepasan sehingga dalam penerbangan berikutan pandemik COVID-19.

“Kami juga telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan bahawa semua langkah pencegahan yang disarankan dilakukan untuk memastikan perjalanan yang selamat dan selesa untuk semua.

Jelas Bo Lingam lagi, syarikat penerbangan tambah murah itu turut mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangan yang bertugas.

“Justeru, kami bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan.

“Kami juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, penerbangan yang tersedia boleh ditempah melalui laman web airasia.com dan aplikasi mudah alih sekarang dan para tetamu juga boleh menggunakan akaun kredit mereka untuk menebus penerbangan ini.

Maklumat lanjut mengenai laluan-laluan lain dan jadual penerbangan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Bagaimanapun, para tetamu juga digalakkan untuk menyemak status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus untuk maklumat terkini secara langsung berikutan keadaan yang sentiasa berubah pada masa ini.