Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dipercayai ditikam bertubi-tubi oleh bapa saudaranya sendiri.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 9 malam di sebuah rumah teres dua tingkat yang juga merupakan kediaman keluarga mangsa di Taman Kepong, di sini pada Isnin.

Kanak-kanak tersebut ditemui oleh neneknya di sebuah bilik stor di tingkat bawah dalam keadaan ditutupi kain putih dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya menerima aduan dari sebuah hospital swasta kira-kira jam 9.30 malam.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 30 kesan tikaman pada badan mangsa dipercayai akibat ditikam dengan objek tajam.

Susulan kejadian, polis telah menahan seorang suspek berusia 21 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa.

Suspek juga dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika insiden.

"Suspek dipercayai telah datang ke rumah mangsa bagi melawat ahli keluarganya.

"Ketika kejadian, ibu mangsa sedang tidur bersama seorang bayi di tingkat atas manakala neneknya keluar seketika.

"Setengah jam kemudian, nenek mangsa pulang dan mendapati mangsa berada di bilik stor, ditutupi kain putih dan berlumuran darah.

"Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Polis turut merampas baju dan seluar yang dipakai suspek ketika kejadian.

Motif kejadian sedang dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.