Sebanyak 72 akaun bank sebuah kumpulan skim piramid membabitkan 25 akaun syarikat dan 47 akaun individu bernilai RM5.867 juta dibekukan dalam Ops Coin yang dijalankan ke atas 16 premis berkaitan syarikat itu semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata serbuan tersebut melibatkan sebuah premis perniagaan syarikat itu di Ipoh, Perak dan 15 lagi di Lembah Klang meliputi empat premis perniagaan, lapan kediaman dan tiga pusat pelayan internet (server).

Katanya komputer dan pelbagai produk syarikat itu bernilai RM980,352 turut dirampas, selain menyita mata wang asing terdiri daripada Euro, Yuan dan Dolar Amerika bernilai RM93,879.20.

"Sebanyak 26 buah kenderaan dengan nilai RM6.2 juta telah dibekukan daripada transaksi pindah hak milik," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya operasi itu turut membabitkan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia.

Mohd Roslan berkata Ops Coin itu dijalankan hasil siasatan yang dijalankan sejak tahun lepas susulan enam aduan yang diterima daripada mangsa skim tersebut.

"Lima aduan berkenaan tidak mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat, manakala satu lagi mengenai penggunaan logo BNM dalam laman web syarikat itu untuk meyakinkan orang ramai," katanya.

Ditanya sama ada pengasas syarikat itu akan ditahan, katanya buat masa ini tiada tangkapan dibuat berikutan wanita berusia 48 tahun yang bergelar Datuk Seri itu memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan.

"Bagaimanapun, kita telah mengambil tindakan membekukan perjalanan dia ke luar negara. Namanya telah disenarai hitam Jabatan Imigresen," katanya.

Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Ditanya mengenai modus operandi syarikat itu, Mohd Roslan berkata seorang anggota perlu melabur antara RM500 sehingga RM5,000 dan mereka perlu mencari dua lagi anggota bagi mendapatkan semula modal dan pulangan mereka.

Pada Mei tahun lepas, dilaporkan seramai 71 warga China membuat laporan polis syarikat itu di Balai Polis Bukit Jalil selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu syarikat itu.

-- BERNAMA