Seorang akauntan di Cameron Highlands, Pahang berputih mata kerugian RM68,995.80 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku ketika mangsa wanita berusia 31 tahun itu berada di rumahnya di Kampung Raja, Kuantan di sini.

"Sebelum itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

"Suspek menyatakan mangsa mempunyai hutang tertunggak kad kredit bernilai RM3,649. Mangsa menafikan perkara berkenaan kerana dia tidak pernah memiliki kad kredit bank berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa menutup empat akaun bank yang masih aktif kerana mendakwa ada orang yang menggunakan data peribadinya untuk memohon kad kredit.

"Suspek meminta mangsa mengikut cara-cara yang diajar untuk menutup kesemua akaun banknya. Mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan dan apabila selesai dia baharu sedar wang di dalam akaun sudah tiada.

"Setelah membuat semakan dengan pihak bank, mangsa mendapati terdapat transaksi wang yang dipindahkan ke dalam dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM68,995.80.

"Mangsa yang berasa dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.