Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman disahkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor.

Musa tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya petang tadi dengan menaiki pesawat Bombardier Learjet 45 dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura sebelum mendaftar masuk ke hospital itu sekitar jam 6.45 petang tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali turut mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI.

"Saya sahkan Musa sudah berada di Malaysia dan beliau ditemani oleh beberapa individu dipercayai ahli keluarga beliau," kata Mustafar, secara ringkas di sini hari ini.

Sementara itu, Dalam satu kenyataan, Mustafar berkata, pemeriksaan pihaknya telah dibuat ke atas Musa dan penumpang yang menaiki pesawat tersebut.

Namun, katanya, Musa tidak dapat hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen atas sebab kesihatan.

"Dokumen penumpang telah diperiksa dan direkodkan ke dalam Sistem Komputer Jabatan Imigresen.

Pemeriksaan dokumen kepada Musa dan penumpang lain selesai lebih kurang 1900 jam," katanya.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen telah memaklumkan pergerakan tersebut kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambahnya, tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan penumpang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai bertugas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga yang berusia 67 tahun itu dilaporkan berada di United Kingdom sejak beberapa bulan lalu kerana dipercayai menerima rawatan di sebuah hospital di sana.

Setakat ini, beliau masih gagal menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula sejak awal Julai lalu.