Teka-teki mengenai pengganti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor terjawab setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, Amirudin Shari mengangkat sumpah bagi memegang jawatan itu di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bermula jam 10 pagi.

Amirudin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan tiba di perkarangan Balai Rung Seri Istana Alam Shah sekitar jam 8.20 pagi bersama isterinya, Masdiana Muhamad.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon bagi jawatan itu selepas Mohamed Azmin menerima pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Selain Amirudin, antara nama lain yang turut disebut bagi menggantikan Mohamed Azmin sebelum ini adalah Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dan Adun Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badarudin.

Dalam pada itu, majlis istiadat berkenaan turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam majlis itu, Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara kandungan Aku Janji tersebut adalah memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam; memelihara Institusi Raja dari dicaci serta diganggu; mematuhi arahan Tuanku Sultan.

Selain itu, Amirudin turut berikrar bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain; melaksanakan tugas dengan penuh intergriti serta tanggungjawan; mendahulukan rakyat; memasgikan kemakmuran negeri itu ditahap tertinggi; memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang-undang dan memelihara perpaduan.

Sebelum itu, turut berlangsung Majlis Serah Kuasa Menteri Besar Selangor di antara Mohamed Azmin bersama Amirudin di Balai Mengadap Istana Alam Shah sekitar jam 9.30 pagi.