Seorang lelaki warga Sri Lanka cedera di leher dan kemaluan, dipercayai dikelar dan ditikam oleh isterinya sendiri dalam kejadian awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 12.36 tengah malam itu, mangsa yang berumur 40 tahun, cedera parah setelah ditikam dan dikelar dengan pisau dalam bilik di sebuah rumah kedai yang mereka sewa di Meru, Jelapang di sini.

Cemburu dipercayai menjadi punca wanita warga Sri Lanka itu bertindak nekad berbuat demikian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dijumpai orang awam di hadapan Hotel Cute, Meru di sini.

Menurutnya, anggota polis bersama pasukan forensik Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang tiba di tempat kejadian mendapati kesan darah bermula dari atas tilam di dalam bangunan kedai yang mereka sewa.

“Tompokan darah dilihat bermula dari tilam hingga ke luar bangunan di tempat kejadian.

“Senjata yang disyaki telah digunakan dalam kejadian telah diperolehi di mana sebilah dijumpai berdekatan tempat kejadian dan disyaki pisau tersebut telah cuba dibersihkan,” katanya di sini.

Mohamad Nordin berkata, pemeriksaan litar kamera tertutup (CCTV) yang berdekatan juga tiada kelibat pergerakan orang luar dan hanya nampak mangsa berlari keluar dari tempat kejadian seorang diri dan isteri berada di dalam tempat kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Usaha sedang dijalankan untuk mengesan suspek dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.