Sebanyak 20 lelaki ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Ipoh, di sini pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.50 malam dan menggerakkan anggota ke lokasi tersebut.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan oleh salah faham apabila sekumpulan lelaki anggaran 10 orang bergaduh sesama ahli keluarga mereka.

"Namun terdapat kumpulan lain yang cuba meleraikan pergaduhan keluarga tersebut sehingga dianggap mencampuri urusan keluarga kumpulan tersebut.

"Akibatnya, berlaku tolak menolak dan pergaduhan di antara kedua kumpulan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.


Mengulas lanjut, Mazlan berkata, dalam kejadian tersebut, terdapat beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan PPR tersebut telah dilanggar oleh kenderaan suspek dan mengakibatkan kerosakan.

Namun setakat ini, pihak Polis belum menerima laporan pemilik-pemilik kenderaan yang telah dilanggar suspek dalam kejadian tersebut.

"Seterusnya, tangkapan telah dibuat terhadap 20 individu berusia dalam lingkungan 17 hingga 33 tahun.

"Seorang suspek mengalami sedikit kecederaan pada jari telunjuk tangan kanan manakala, suspek lain tidak mengalami sebarang kecederaan," jelas beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula pada 23 hingga 26 Mei.

Tambah Mazlan, pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek-suspek lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang yang sedia ada.

"Hari Raya Aidilfitri hampir menjelang dan pada waktu ini, kita juga sedang menghadapi ancaman COVID-19, justeru orang ramai dinasihatkan supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang kaum agar kita semua dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera," ujarnya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, sila hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.