Sebahagian besar keluarga di projek perumahan rakyat (PPR) hanya bergantung kepada bantuan badan kebajikan untuk mendapatkan makanan berkhasiat, jelas aktivis kesihatan, Dr Madhu­sudhan Shanmugam.

“Mereka makan telur sahaja setiap hari atau satu sajian sayur sahaja bersama nasi,” jelas Dr Madhusudhan yang sinonim dengan kerja kebajikannya yang menyediakan perkhidmatan klinik mudah alih sejak beberapa tahun lalu di kawasan-kawasan PPR.

Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau yang sering turun padang di kawasan PPR, tahap kebersihan di kebanyakkan kawasan-kawasan perumahan itu juga berada dalam keadaan teruk sehingga menyebabkan pelbagai jangkitan kulit kepada kanak-kanak.

“Kalau anda pergi ke kawasan PPR, ia selalunya kotor. Mereka buang sampah di merata tempat. Mereka tidak mengambil berat soal kebersihan di Kawasan tempat tinggal mereka.

“Kanak-kanak di PPR juga perlu didedahkan dengan penjagaan kebersihan dan pemakanan yang betul.

“Tiada guna kalau kita rawat mereka tetapi akhirnya mengamalkan tahap kebersihan dan makanan yang tidak memuaskan,” katanya dalam satu temu bual di Astro AWANI di sini hari ini.

Dr Madhu­sudhan memberi reaksi susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai usaha memulakan kajian hala tuju Kebajikan Kanak-Kanak susulan laporan Tabung Kanak-Kanak (UNICEF) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Mac lalu.

Pelan hala tuju itu akan dibangunkan secara Bersama oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Dalam Negeri.