PIHAK kerajaan perlu memastikan akta baru yang bakal mengantikan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] kelak dapat menjamin kestabilan dan keamanan negara kita. Baru – baru ini, YAB Perdana Menteri, Tun. Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan bahawa pihak kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dan menggantikannya dengan undang – undang baru. Kesan daripada langkah yang ingin diambil oleh pihak kerajaan terhadap perkara ini perlu dilihat dari pelbagai sudut. Pemansuhan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dilihat boleh memberi impak positif kerana ia dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang pada rakyat untuk tampil berani bersuara dan meluahkan pendapat masing – masing. Pada masa yang sama juga pemansuhan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] boleh membawa kepada impak negatif kerana buat sekian lama akta terbabit digunakan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku dalam negara kita yang boleh menyebabkan negara kita menjadi huru – hara dan menjadi kucar – kacir.

Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sudah lama digunapakai dalam negara iaitu semenjak zaman penjajahan British lagi. Akta Hasutan 1948 [Akta 15] berkenaan telah dirangka bagi menghadapi masalah – masalah berbangkit ketika zaman penjajahan. Selepas negara kita merdeka pada tahun 1957 sehingga terbentuknya negara Malaysia pada tahun 1963, Akta Hasutan 1948 [Akta 15] berkenaan masih lagi digunakan sehingga kini. Buat sekian lama, Akta Hasutan 1948 [Akta 15] telah digunapakai dalam negara kita khusus bagi mengelakkan sebarang pihak yang tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan kebebasan bersuara yang telah diperuntukkan dibawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun segala – galanya telah berubah selepas Pilihanraya Umum Kali Ke 14 (PRU14) pada tahun 2018 yang lalu yang telah menyaksikan perubahan drastik suasana politik dalam negara kita semenjak negara kita mencapai kemerdekaannya. Perubahan drastik politik yang berlaku ini juga menuntut pihak kerajaan baru dibawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil satu langkah atau melaksanakan corak pentadbiran yang berlainan dengan kerajaan lama dulu. Perubahan politik yang berlaku ini juga menuntut supaya satu bentuk peruntukkan undang – undang baru diwujudkan bagi memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada rakyat untuk bersuara dan memberi pendapat tanpa rasa takut ataupun bimbang ditahan dibawah mana – mana peruntukkan undang – undang sedia ada dalam negara kita.

Seperti yang diketahui umum, kebebasan yang diberikan kepada setiap warganegara di Malaysia adalah jelas termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan. Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara dalam negara kita. Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita adalah kebebasan setiap rakyat negara ini untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ianya penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri. Kebebasan untuk seseorang itu bersuara serta meluahkan pendapat juga penting bagi kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.

Walaupun begitu, setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukkan termasuk kebebasan unruk bersuara dan memberi pendapat tidak bersifat mutlak. Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan bahawa “Parlimen boleh melalui undang – undang mengenakan apa – apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana – mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara – negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan – sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana – mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa – apa kesalahan”. Dengan ini, pihak Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang – undang jika mendapati sekatan tersebut perlu demi menjaga kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral. Sekatan yang dikenakan terhadap perkara ini dilihat menjadi satu keperluan penting supaya tidak ada mana – mana pihak dalam negara yang menyalahgunakan atau mengambil peluang di atas prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat.

Oleh yang demikian, cadangan pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah akta baru bagi mengantikan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] perlu memastikan akta baru yang bakal digunakan kelak bukan sahaja dapat memberi ruang dan peluang kepada setiap rakyat ini untuk tampil berani bersuara dan meluahkan pendapat malah pada masa yang sama juga dapat memastikan kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat terbabit tidak disalahgunakan oleh mana – mana pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan hura – hura serta mewujudkan suasana kucar – kacir dalam negara kita yang memiliki masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama. Akta baru yang ingin diwujudkan bagi mengantikan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] perlu mewujudkan sebuah keseimbangan terbaik dalam menjamin kebebasan atau hak setiap individu untuk bersuara dan memberi pendapat seperti yang telah termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan serta pada masa yang sama dapat menjaga kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam masyarakat di dalam negara ini.



*Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.