Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melihat kembali akta melibatkan kanak-kanak, termasuk peraturan yang berkaitan bagi mengurangkan kes kematian akibat kecuaian, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata bahawa beliau sendiri sudah mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan bagi merealisasikan langkah itu.

"Saya rasa sungguh sedih bila benda-benda ini berlaku lagi, saya rasa ia satu tragedi. Baby yang kita rasa ada masa depan...saya minta kementerian dapatkan butir bukan saja bagaimana kita nak prevent kes ini daripada berlaku, dan apabila kecuaian kita mesti ketatkan undang undang akta yang ada peraturan yang ada

"Saya telah berbincang banyak kali dengan pejabat Peguam Negara, dan dia ada memberikan garis panduan apa yang patut diperketatkan, mungkin kerana undang-undang kita ini ada lompong-lompong yang perlu kita beri perhatian," katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian kepada media di Majlis Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Awal hari ini, bayi malang berusia 10 bulan, Naufal Amsyar Nabil Fikri, yang cedera parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya, menghembuskan nafas terakhir.

BACA: Naufal Amsyar, bayi 10 bulan meninggal dunia

Ayahnya, Nabil Fikri Anwar, 28 tahun, ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, anak tunggalnya itu meninggal dunia sekitar jam 9 pagi tadi selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Pengasuh Naufal yang merupakan seorang wanita berumur 35, kini direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.