Kerajaan Sabah dan Sarawak mahu Akta Cukai Pelancongan 2017 menjadi pemangkin bagi pertumbuhan industri itu dan menyumbang kepada ketahanan Akta Cukai Pelancongan 2017 sekiranya ia dikuatkuasakan.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata akta itu tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada daya saing negara dalam industri pelancongan global.

Kata Masidi, terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat di sini hari ini antara pegawai kementeriannya yang diketuai beliau sendiri dengan delegasi Sarawak diketuai Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri itu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan kesan Akta Cukai Pelancongan 2017 terhadap Sabah dan Sarawak, di samping untuk mencari asas bagi mencapai persetujuan bersama antara kedua-dua negeri berkenaan untuk mengambil pendirian bersama tentang peruntukan tertentu dalam akta itu.

"Mesyuarat itu menghasilkan cadangan dan syor bagi mengemaskan lagi peruntukan tertentu dalam akta berkenaan bagi menjamin pertumbuhan dan kelestarian industri pelancongan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kepentingan industri pelancongan Sabah dan Sarawak menjadi pertimbangan paling utama dalam menyediakan memorandum mengenai Akta Cukai Pelancongan 2017.

"Pertumbuhan dan kelestarian industri ini sangat penting bagi kesejahteraan ekonomi kedua-dua negeri Borneo ini pada masa akan datang," katanya.

Masidi berkata mesyuarat itu juga mancapai persetujuan tentang kandungan draf memorandum mengenai akta berkenaan yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan serta diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak untuk kelulusan mereka.

"Kedua-dua pemimpin (Ketua menteri) kemudiannya akan menyerahkan memorandum itu kepada Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan dan tindakan lanjut beliau," katanya.

Rang Undang-undang Cukai Pelancongan, yang bertujuan mengenakan dan mengutip cukai pelancongan daripada pelawat yang tinggal di tempat penginapan pelancong, dibentangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan diluluskan Parlimen pada 6 April. - BERNAMA