Akta Jerebu Rentas Sempadan perlu segera diwujudkan oleh Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain, khususnya yang sering dilanda masalah jerebu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menegaskan akta itu akan menjamin penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan lebih efisyen antara negara serantau.

"Malaysia tidak memiliki akta tersebut buat masa sekarang, tetapi yang lebih penting adalah apabila kita mewujudkan akta itu, ia perlu boleh dikuatkuasakan di peringkat serantau.

"Kementerian akan menghantar surat kepada Sekretariat ASEAN untuk melihat sama ada mereka boleh melakukan sesuatu untuk mengawal masalah jerebu

Akta Jerebu Rentas Sempadan itu perlu diseragamkan di seluruh negara-negara Asia Tenggara terutamanya yang terjejas oleh jerebu," kata Bee Yin.

Beliau ditemui selepas menjadi panel sesi diskusi pameran My Digital Fair 2019 di ibu negara, pada Ahad.

Dalam pada itu, Bee Yin juga sekali lagi menegaskan Indonesia memiliki kuasa sepenuhnya untuk membuat siasatan dan melaksanakan hukuman terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menyebabkan jerebu.

"Jika terbukti bersalah, Indonesia berhak dan berkuasa mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa rasa takut," katanya.

Bee Yin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan di media sosial bahawa tanah sawit milik syarikat suaminya antara yang disita kerajaan Indonesia berkaitan jerebu.