Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang bertujuan memastikan pemilik haiwan bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan dikuatkuasakan sejak 1 Julai lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata penguatkuasaan itu menyaksikan pemunya yang didapati bersalah dalam lima keperluan utama yang digariskan boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti penalti bermula RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

"Di bawah akta ini pemunya bertanggungjawab memastikan haiwan yang dipelihara berada di persekitaran sesuai; diet sesuai; membolehkan mempamer corak kelakuan semula jadi; haiwan ditempatkan bersama atau berasingan dan dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan atau penyakit.

"Hukuman bukan tujuan utama tetapi akta ini lebih kepada usaha menolak budaya 'animal is animal', sebaliknya memupuk sikap pemunya menjadikan haiwan yang dipelihara sebagai keluarga, ahli komuniti dan warganegara yang perlu diberi layanan baik," katanya ketika berucap mengumumkan tarikh pelaksanaan akta itu di kementeriannya di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Serentak dengan itu, Ahmad Shabery turut mengumumkan penubuhan Lembaga Kebajikan Haiwan yang disertai 11 wakil dari pelbagai agensi berkaitan termasuk daripada institusi pendidikan tinggi bagi mentadbir urus hal-hal berkaitan kebajikan haiwan.

Beliau mahu anggota lembaga itu memainkan peranan menyedarkan masyarakat mengenai kewujudan akta tersebut, menjalankan kempen kesedaran yang akhirnya mampu membuka mata dunia dan masyarakat bagaimana Malaysia melayan haiwan peliharaan.

Sementara itu, Quaza Nizamuddin dalam sidang medianya selepas itu berkata akta tersebut hanya terpakai di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja, manakala Sabah dan Sarawak tertakluk kepada peraturan atau enakmen berkenaan haiwan peliharaan negeri masing-masing.

Beliau bagaimanapun berkata peraturan yang diguna pakai di kedua-dua negeri itu dan Semenanjung tidak jauh berbeza kerana hampir 90 peratus enakmen yang digunakan diambil daripada Akta 772.

Dalam perkembangan lain, Quaza Nizamuddin berkata pihaknya berpendapat tiada keperluan untuk memberi vaksin pelalian anti rabies atau anjing gila kepada anjing dari kawasan yang bebas daripada virus berkenaan.

Beliau berkata sejak kes itu dikesan, pihaknya telah menghantar 12,000 dos vaksin ke beberapa daerah di Perak dan Sarawak, dua negeri yang teruk terjejas dengan gejala tersebut.

"Esok kami akan hantar 6,000 dos lagi ke Perak dan Sarawak dan ingin ditegaskan di sini bahawa setakat ini tiada keperluan untuk melakukan vaksin di negeri lain selain dua negeri itu," katanya.

-- BERNAMA