Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 perlu dipinda dan ditukar kepada Akta Diskriminasi OKU bagi memelihara kepentingan golongan itu, ujar Presiden Persatuan OKU Sentral, Ras Adiba Radzi.

Ia berikutan akta sedia ada ketika ini tidak cukup 'bertaring' terutama dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat agar tidak menggunakan kemudahan yang sepatutnya disediakan untuk mereka.

"Kami sedang bertungkus-lumus untuk meletak 'taring' kepada Akta OKU, kami cadangkan untuk Akta Diskriminasi OKU. Akta ini perlu dipertajamkan dan kita boleh denda orang yang memakir di parkir OKU, tetapi ini kita perlu kerjasama daripada Majlis Perbandaran di setiap negeri.

"Contohnya, kalau ada yang parkir di tempat OKU, dia kena denda RM100. Di Australia, kalau parkir di tempat OKU mereka didenda AUS$2,000," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Beliau juga melihat amaran denda antara RM50 ke RM100 ke atas mereka yang meletak kenderaan di parkir OKU itu wujud, namun, kebanyakan pengurusan bangunan swasta terutamanya tidak cukup tegas dalam melaksanakannya.

"Sebab itu, Akta OKU 2008 ini sudah 10 tahun, namun akta ini tidak tajam dan orang tidak mengambil serius perkara ini," ujarnya.

Ketika ini katanya, kemudahan untuk OKU yang mengikut spesifikasi yang diperlukan golongan berkenaan penting dalam memastikan masyarakat menghormati keperluan golongan yang tidak bernasib baik itu.

"Setengah tempat, tiada parking OKU dan parking itu tidak ikut spesifikasi (untuk OKU). Ada yang buat ram terlampau curam dan ada juga yang letak palang dekat dengan ram itu, menyebabkan kami tidak boleh lalu.

"Kemudahan OKU di bandar semakin ditambah baik. Namun, di luar bandar masih belum mencukupi," kata Ras Adiba.

Justeru, katanya, penguatkuasaan undang-undang yang berkesan mampu menghentikan masyarakat daripada terus menyalahguna kemudahan OKU.

Pada masa sama, usaha menghormati dan tidak menyalahgunakan kemudahan OKU perlu dipupuk sejak kecil.