Aktivis hak asasi dan Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez meninggal dunia hari ini selepas mengalami kegagalan jantung.

Perkara itu disahkan kepada Astro AWANI oleh adik mendiang Josie Fernandez.

“Irene meninggal dunia pada pukul 10.58 pagi ini di Unit Rawatan Koronari Hospital Serdang.

“Saya serta keluarga lain berada di sisinya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata Josie sambil menambah hasrat terakhir Irene adalah untuk mayatnya dikremasi.

Irene, 67, meninggalkan seorang suami dan tiga orang anak, dirawat di Hospital Serdang sejak Selasa.

Mayat mendiang akan dibawa ke rumah beliau di Seremban sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Subang Jaya pada pagi Rabu.

Bekas guru sekolah menengah itu meninggalkan kerjayanya pada tahun 1970 untuk menjadi penganjur sepenuh masa bagi pekerja-pekerja muda.

Seorang yang disifatkan sebagai sangat lantang bersuara di dalam sesuatu pergerakan yang dianggotai atau disokong olehnya, mendiang sering mengetuai banyak kempen terutamanya kempen berkaitan kesedaran untuk wanita seperti program kepentingan penyusuan ibu serta menghentikan keganasan terhadap wanita.

Menurut laman web Anugerah Hak Kehidupan (Right Livelihood Award), banyak gerakan wanita ditubuhkan hasil daripada kempen beliau termasuk All Women's Action Society (AWAM).

Irene turut menubuhkan pertubuhan Tenaganita pada 1991 selain memperjuangkan hak-hak pekerja asing, termasuk tiga juta pekerja asing yang berada di Malaysia.

Pada tahun 1995, Irene menyediakan laporan mengenai penyalahgunaan pekerja asing, malnutrisi, penderaan fizikal dan seksual dan keadaan teruk yang terpaksa mereka lalui.

Laporan yang bertajuk, ‘Abuse, Torture and Dehumanised Conditions of Migrant Workers in Detention Centres’, membawa kepada penahanannya setahun kemudian.

Irene didakwa di bawah Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pada tahun 2003 telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman setahun penjara.

Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas persabitan beliau diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada tahun 2005, Anugerah Hak Kehidupan untuk "kerja-kerja cemerlang dan keberanian beliau untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dan penyalahgunaan pekerja asing”.