Aktivis pelajar, Khalid Mohd Ismath hari ini telah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana dipercayai menyebarkan kenyataan berbaur hasutan melalui media elektronik.

Timbalan Ketua Polis Selangor, A. Thaiveegan mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau memberitahu sidang media bahawa Khalid, 23 tahun, telah ditahan di Klang pada jam 5.45 petang tadi dan akan disiasat oleh polis Kajang di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

"Khalid ditahan kerana dipercayai menyebarkan kenyataan hasutan melalui media elektronik," kata A. Thaiveegan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Sabtu.

Khalid dalam satu mesej Twitternya semalam telah berkata, "Kejayaan himpunan Sabtu ini ialah apabila 3 trak polis berjaya diterbalikkan, 2 water cannon berjaya ditumbangkan dan 3 bas FRU berjaya dipunahkan. Jika tidak, himpunan esok adalah gagal."

A. Thaiveegan bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan samada kenyataan hasutan yang dibuat Khalid adalah sama dengan kenyataan dalam laman Twitternya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang ditahan polis lebih awal juga disiasat di bawah akta yang sama.

A. Thaiveegan memberitahu, Husam telah ditahan kira-kira jam 3.40 petang tadi di Desa Pandan dan akan dihantar ke Kelantan untuk disiasat oleh pasukan polis negeri itu.

"Beliau akan dihantar ke Kelantan untuk disiasat oleh polis Kota Bharu kerana kesalahan telah dibuat di Kota Bharu," katanya.

Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata, peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan pembangkang di Padang Merbok di sini hari ini dianggap sebagai mati syahid.

Kedua-dua individu kini masih dalam tahanan dan polis masih belum dapat memberitahu samada mereka boleh diikat jamin atau tidak.

Polis juga memaklumkan segala butir-butir lanjut mengenai penahanan akan diberitahu esok atau hari berikutnya.