Orang ramai perlu melapor aktiviti menangkap ikan terutama di sungai melalui kaedah yang dilarang, kata Pengarah Perikanan Negeri, Zamani Omar.

Beliau berkata ini kerana kaedah seperti meracun, menggunakan bom, renjatan elektrik ataupun membuang sisa toksik boleh membawa pelbagai kesan negatif seperti pencemaran sungai.

"Sememangnya memang sukar untuk kita memantau kegiatan ini secara keseluruhannya. Justeru itu kita amat memerlukan kerjasama orang ramai terutamanya penduduk setempat bagi membantu pihak kami membanteras masalah ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan ikan dan penyerahan bantuan kepada nelayan darat bagi kawasan Parlimen Tenggara di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati menjalankan kegiatan secara haram itu.

Pada majlis itu 30,000 benih ikan baung dan 20,000 benih udang galah, 5,000 ikan jelawat, 3,500 ikan lampam dan 150 ikan kekutu yang kesemuanya bernilai RM16,000 dilepaskan di Sungai Johor.

-- BERNAMA