Tutup

Al Biruni Zakat Selangor santuni kanak-kanak miskin bandar

Al Biruni Zakat Selangor santuni kanak-kanak miskin bandar
Ketua Pegawai Operasi Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin (kiri) meluangkan masa bersama kanak-kanak yang menyertai program Al Biruni Zakat Selangor di PPR Desa Mentari. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif mewujudkan projek Al-Biruni yang menjadi hub pusat pembelajaran dan inovasi di bawah Program Pembangunan Kanak-Kanak Miskin Bandar.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin, projek perintis yang dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari, Petaling Jaya itu bertujuan untuk menyantuni kanak-kanak miskin bandar di kawasan itu.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah solat berjemaah, kelas mengaji, menyiapkan homework, usrah santai, riadah dan sukan serta program khas bersama sukarelawan dan NGO. - Foto ADAB Youth Garage

Beliau berkata, idea mewujudkan projek itu bertitik tolak daripada laporan kaji selidik yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Februari 2018 berkisar masalah kemiskinan kanak-kanak bandar di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

"LZS mengambil inisiatif kerana dalam laporan UNICEF terdapat tujuh kawasan di mana salah satu kawasan yang tersenarai adalah di Desa Mentari ini.
"Jadi kami turun padang dan melihat sendiri. Memang betul, keadaan sangat menyedihkan. Jadi kami buat keputusan untuk menyewa dua unit lot kedai dan menjalin kerjasama dengan sebuah NGO yang menguruskan pusat ini," katanya ketika ditemui media di sini hari ini. 

kanak-kanak yang menyertai program itu turut solat berjemaah dan diajar fardhu ain oleh tenaga pengajar yang bertauliah - Foto ADAB Youth Garage

Selain menyediakan ruang belajar dan sosial yang selamat serta kondusif, Al Biruni Zakat Selangor turut menawarkan bantuan akademik, mengurangkan masalah sosial selain membantu kanak-kanak yang cemerlang dalam pelajaran tetapi terhalang kerana kemiskinan dan kekurangan kemudahan.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah solat berjemaah, kelas mengaji, menyiapkan kerja rumah, usrah santai, riadah dan sukan serta program khas bersama sukarelawan dan NGO.

"Ibu bapa pun sibuk di mana mereka bekerja, mungkin syif berlainan. Jadi mereka tidak ada masa untuk bersama dengan anak-anak, sebab itu kita mulakan projek ini.

Program LZS dengan kerjasama rakan strategik AYG turut menawarkan potongan rambut percuma kepada para peserta - Foto Astro AWANI

"Ini merupakan projek rintis di mana kalau berjaya, kita akan perluas kerana ada beberapa kawasan seperti di Kota Damansara dan Subang PPR terdapa ramai keluarga asnaf dan fakir miskin," katanya.

Projek yang dilaksanakan dengan rakan strategik ADAB Youth Garage (AYG) itu mula beroperasi sejak 1 April lalu dengan menyasarkan penyertaan 264 keluarga asnaf dan fakir miskin di PPR tersebut.

"Tahun lepas LZS mengutip RM794 juta di mana agihan yang dibuat sekitar RM830 juta. Jadi, sebahagian daripada kutipannya disalurkan ke projek ini.

"Jadi setiap tahun kos operasi dalam menjalankan pusat ni sekitar RM100,000 ke RM120,000 yang mana kita akan bawa ustaz dan cikgu untuk mengajar. Jadi duit-duit kutipan itu semua di sini dan manfaatnya kepada anak-anak di sini," katanya. 

Mengikut rekod, terdapat 91 keluarga asnaf dan fakir miskin di blok 9 dan 10 PPR Desa Mentari dengan 81 peratus terdiri daripada kanak-kanak.


Tag: Lembaga Zakat Selangor, Projek Perumahan Rakyat PPR Desa Mentari, Kanak-kanak, Petaling Jaya, kanak-kanak PPR, laporan UNICEF, ADAB Youth Garage



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.