Semangat penyatuan ummah umat Islam di seluruh dunia dalam Program World #QuranHour yang julung kali diadakan di negara ini.

Selama lebih 60 minit, titik tumpu acara itu di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) disertai lebih 3,000 orang ketika umat Islam yang menunaikan haji berhimpun di Padang Arafah pada hari wukuf 9 Zulhijjah.

Bernama melaporkan, penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Rais Yatim, yang juga pengerusi UIAM, berkata program itu memperlihatkan cantuman jiwa umat Islam di seluruh dunia dalam mengagungkan kalam Allah itu.

"Berkumpul kita di UIAM menandakan corak kemasyarakatan Islam. Acara ini tak dapat dibandingkan dengan kegiatan lain. Marilah kita bersama-sama terus perkukuh insaniah dan ketepikan perbezaan," katanya ketika berucap pada majlis bermula 9 pagi itu.


Rais kemudian membacakan surah Al-Fatihah bagi memulakan program World #QuranHour disusuli bacaan surah al-Baqarah oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.

Rosyam Nor
Antara yang mengambil bahagian termasuk selebriti tanahair, Datuk Rosyam Nor. Lengkap berpakaian baju Melayu merah jambu, Rosyam kelihatan cukup tenang ketika mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dalam acara tersebut.